Suspek perdaya gadis akan dibawa ke IPD Beaufort

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak. – Foto Junaidi Ladjana

BEAUFORT: Suspek lelaki yang memperdayakan gadis dengan tawaran kerja sebagai model sebelum mengugut menyebarkan gambar separuh bogel mangsa akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort selepas siasatan di Semenanjung selesai.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak, berkata hasil maklumat mendapati suspek berusia 17 tahun itu menggunakan modus operandi yang sama memperdayakan gadis dan mengugut bagi mendapatkan wang daripada mangsa.

“Suspek ditangkap di Kamunting atas kesalahan yang sama seperti yang dilaporkan dalam kes di Beaufort iaitu memperdayakan pelajar atau gadis untuk gambar separuh bogel dan kemudian mengugut untuk menyebarkan gambar serta meminta wang.

“Suspek yang menggunakan modus operasi sama dipercayai terbabit dalam beberapa kes di Semenanjung dan pegawai penyiasat akan membawa suspek ke Beaufort selepas siasatan terhadapnya selesai di sana,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan membabitkan seorang remaja perempuan di daerah ini diperdaya dengan tawaran kerja sebagai model sebelum bertindak menyerahkan gambar separuh bogel kepada individu yang dikenalinya melalui aplikasi Instagram pada pertengahan bulan lalu.

Azmir dalam pada itu turut menasihatkan ibu bapa dan gadis supaya tidak mudah terpedaya dengan modus operandi seperti itu terutamanya membabitkan gambar separuh bogel.

“Hal ini bukan saja bertentangan dengan budaya kita dan semua agama melarang melakukan perkara seperti itu.

“Saya harap ibu bapa sentiasa memantau dan menasihatkan anak masing-masing supaya mereka lebih bijak dan sentiasa beradab dalam menggunakan media sosial,” katanya. – Berita Harian

337