PRK Sandakan: Anak mendiang Tien Fatt antara calon dicadang DAP

Vivian Wong (kiri) bersama mendiang bapanya, Wong Tien Fatt. – Ihsan FB Vivian Wong

SANDAKAN: DAP Sabah sudah menghantar senarai calon kepada ibu pejabat parti itu untuk dipertimbangkan bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan.

Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung, berkata antara nama dicadangkan adalah anak mendiang penyandang kerusi Parlimen Sandakan, Datuk Stephen Wong Tien Fatt, iaitu Vivian Wong, 30, yang sebelum ini pegawai khas di Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.

“Kita sudah hantar tidak kurang tiga nama dan sudah maklumkan kepada (DAP Pusat) mengenai calon. Sekarang, kita masih tunggu siapa calon (bertanding PRK),” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah portal berita tempatan yang mendakwa DAP Sabah mahu anak mendiang dipilih sebagai calon pada PRK Parlimen Sandakan kerana berpengalaman bertugas bersama Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, selain turut membantu bapanya pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Tien Fatt, 65, yang juga Pengerusi DAP Sabah meninggal dunia akibat serangan jantung ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (QEH) di Kota Kinabalu pada 28 Mac lalu.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Sandakan pada 11 Mei ini dengan penamaan calon pada 27 April, manakala tarikh pengundian awal pada 7 Mei.

Ditanya persediaan berdepan pilihan raya, Ming Fung yang juga Menteri Belia dan Sukan negeri merangkap Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, berkata DAP Sabah sudah bersedia selepas proses pengebumian Tien Fatt selesai.

Biarpun tempoh singkat membuat persediaan sebelum PRK, beliau percaya DAP mampu mempertahankan kerusi itu dengan kerjasama kerajaan Pakatan Harapan (PH) selain beberapa parti tempatan termasuk Parti Warisan Sabah (WARISAN).

“Di pihak pembangkang, kita belum tahu siapa akan bertanding, namun PAS dan STAR (Parti Solidariti Tanah Airku) sudah nyatakan kesediaan mereka. Terpulang kepada pengundi untuk tentukan siapa akan dipilih.

“Selepas kita (PH) memegang kuasa, mendiang memberi perkhidmatan yang baik kepada rakyat dan kita harap pengundi sedar dan beri peluang (kepada calon DAP),” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *