Ibu, isteri Jari Abdullah ke Zamboanga

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

KERAJAAN negeri akan menguruskan perjalanan keluarga Jari Abdullah, 34, ke Zamboanga, Filipina, dalam masa terdekat.

Jari, rakyat Malaysia diculik bersama dua lagi rakannya di Pegasus Reef Kinabatangan pada Disember lalu, kini menerima rawatan di hospital Zamboanga.

Dia cedera terkena tembakan ketika cuba melarikan diri daripada kumpulan penculik, di Pulau Simusa, Sulu, pada petang Khamis.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, ibu dan isteri mangsa akan ke Zamboanga dalam masa terdekat ini.

“Saya sudah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri (Datuk Hashim Paijan) untuk aturkan…perlu untuk kita bantu mereka (keluarga mangsa).

“Buat masa ini, kita akan hantar ibu dan isterinya. Kita berdoa agar dia (Jari) kini menerima rawatan di hospital di Zamboanga berada dalam keadaan selamat dan sihat.

“Saya juga maklumkan bahawa mereka (Kementerian Luar) sudah berhubung dengan keluarga mangsa,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) Kota Kinabalu, hari ini.

Terdahulu, Mohd Shafie menerima kunjungan hormat Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di PPNS.

Beliau, kemudian menerima kunjungan wakil Kementerian Luar iaitu Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala), Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata beliau juga, sudah dimaklumkan oleh wakil Kementerian Luar mengenai keadaan dan situasi Jari.

“Saya dimaklumkan ada pertembungan antara tentera dan pasukan keselamatan negara itu dengan kumpulan Abu Sayyaf. Dia cuba melarikan diri sebelum terkena tembakan,” katanya.

Jari berasal dari Sandakan dan dua warga Indonesia yang juga nelayan iaitu Hari Ardiansya, 19 dan Hariadin, 45 bekerja di syarikat perikanan di Sandakan ketika diculik kumpulan bersenjata di Pegasus Reef berdekatan Kinabatangan-Lahad Datu pada 6 Disember lalu. -Harian Metro

164