Azis Tanding Ketua Bahagian Warisan Sepanggar

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Mohd Azis Jamman hari ini mengesahkan akan bertanding jawatan ketua bahagian Parti Warisan Sabah Sepanggar dalam pemilihan bahagian itu pada 6 April nanti.

“Ya, saya telah mendaftarkan diri saya untuk bertanding jawatan ketua bahagian,” kata Azis apabila ditemui semasa merasmikan penutupan Kejohanan Bowling Piala DAJ (Datuk Azis Jamman) di CPS Bowl di sini hari ini.

Datuk Azis Jamman ketika ditemui pemberita di majlis penyampaian hadiah dan penutupan Kejohanan Bowling Datuk Azis Jamman (DAJ) di CPS Bowl hari ini. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Menurut beliau, selaras dengan kehendak presiden parti Datuk Seri Mohd Shafie Apdal agar Warisan kekal relevan dalam konteks politik Sabah maka “kita ingin meremajakan dan bukan sahaja itu tetapi juga menyuburkan lagi parti Warisan.”

“Saya serahkan sepenuhnya kepada para perwakilan samaada saya patut diberi peluang memimpin bahagian Sepanggar,” katanya.

Namun, Azis yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata beliau akan menyokong apa jua keputusan perwakilan nanti.

“Kalah atau menang adat bertanding dalam pemilihan dan saya akan sokong. Apa yang penting adalah kita terus bersatu dan kuat sebagai satu parti,” katanya lagi.

Sabah News Today turut difahamkan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri Karambunai merangkap Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian Azhar Matussin akan bertanding jawatan timbalan ketua bahagian Warisan Sepanggar.

Zakaria Damit menawarkan diri bagi jawatan Naib Ketua Bahagian Warisan Sepanggar. Gambar SNT/Ihsan media sosial

Sementara bagi jawatan naib ketua bahagian antara yang telah menawarkan diri ialah Zakaria Damit.

Ketua penaja bahagian Warisan Sepanggar ialah Haji Mentoh Aru manakala Muhammad Salleh Abdullah ialah timbalannya.

Pemilihan parti Warisan kali ini ialah yang pertama sejak penubuhannya pada 17 Oktober 2016.-SabahNewsToday

35