Kerajaan Lulus Peruntukan RM2 Juta Bina Pusat Maklumat Sipitang

Mohd Shafie (kiri) meletakkan tapak tangan sebagai simbolik pelancaran Program Sipitang Baharu-Bersih & Indah, turut kelihatan isterinya Datin Seri Shuryani Shuaib, Menteri Pelajaran & Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob (empat kiri) dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick (lima kiri)

SIPITANG: Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan bernilai RM2juta bagi pembinaan Pusat Maklumat Daerah Sipitang, di sini pada Sabtu.

Pusat itu akan menempatkan semua maklumat berkaitan sejarah dan senarai nama pemimpin daerah Sipitang dari zaman British hingga masa kini.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob berkata, kewujudan pusat itu akan memudahkan pengunjung luar mendapatkan maklumat mengenai sejarah serta maklumat berkaitan pelancongan di daerah Sipitang.

Katanya, pembinaan pusat itu akan dilaksanakan di bangunan lama Pejabat Daerah Sipitang yang akan diubahsuai bagi mengekalkan keaslian warisan bersejarah bangunan berkenaan. Bangunan itu terletak bersebelahan dengan Esplanade Sipitang.

Dalam pada itu, beliau juga mahu perancangan mengambil semula pemilikan Sabah Forestry Industries Sdn Bhd (SFI) dan pelaksanaan Projek Ammonia dan Urea Sabah (SAMUR) 2 dapat dilaksana secepatnya.

”Saya yakin golongan belia dan graduan lepasan universiti tidak sabar menunggu kewujudan peluang pekerjaan ini.

”Bagaimanapun pihak pelabur dan pengurusan SFI yang baru harus memberi keutamaan dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada anak tempatan di daerah ini.

”Saya berharap proses menghidupkan semula SFI ini dapat dipercepatkan dan saya meminta agar pengurusan baharu dapat mengambil semula pekerja yang dahulunya pernah bekerja di sana,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Program Sipitang Baharu-Bersih dan Indah, di Esplanade Sipitang.

Mengenai masalah tanah untuk kegiatan pertanian yang berada dalam kawasan hutan simpan, Yusof berharap Kerajaan Negeri dapat membantu mengeluarkan tanah yang diusahakan penduduk kampung itu daripada kawasan hutan simpan yang berada dibawah pengurusan SFI.

Beliau juga mahu geran tanah individu diberikan kepada penduduk di situ dalam memastikan kawasan tanah tinggi di Sipitang seperti di Long Pasia dapat dibangunkan sebagai kawasan penanaman sayur-sayuran tanah tinggi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sindumin ini menyimpan harapan agar Sipitang akan menjadi pengeluar sayuran tanah tinggi yang mungkin boleh dikenali sebagai Ulu Bole Satu.

Menyentuh tentang Program Sipitang Baharu-Bersih dan Indah, Yusof berharap pendekatan baru itu akan membolehkan Sipitang yang menjadi pintu masuk utama Sarawak, Brunei Darussalam dan Kalimantan itu boleh muncul sebagai daerah terbersih di Sabah.

Katanya, jika dahulu Sipitang mempunyai imej buruk kerana persekitaran yang kotor dan bangunan yang usang, beliau mahu daerah itu diberikan wajah baharu agar dapat menarik kedatangan pelancong ke daerah yang terletak 136km dari Kota Kinabalu ini.

Beliau berkata, pendekatan sebegitu dilihat akan mengubah imej Sipitang kepada sebuah pekan yang cantik dan bersih. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *