Etnik Murut halau roh jahat menerusi ritual Urung

Gambar Bernama

TENOM, 31 Mac – Masyarakat pelbagai kaum di Malaysia, mempunyai cara masing-masing untuk menghalau roh jahat yang boleh mengganggu kehidupan seharian mereka, begitu juga kaum Murut di Tenom, Sabah mempunyai kaedah mereka tersendiri yang dipanggil upacara “Urung”.

Ketua Anak Negeri Tenom Atun Patu berkata etnik Murut di sini akan mengadakan upacara Urung selepas kematian atau acara menyambut kehadiran tetamu khususnya pada majlis perkahwinan bertujuan menghalau roh jahat daripada mengganggu mereka.

Atun, 63, berkata upacara ritual itu sangat penting bagi masyarakat Murut kerana ia sebahagian daripada adat tradisi suku kaum berkenaan yang diwarisi sejak zaman-berzaman.

Katanya etnik Murut mempercayai tentang kehadiran roh jahat, justeru, upacara Urung diadakan bagi memastikan roh jahat itu tidak mengganggu mereka ketika melakukan pelbagai aktiviti.

“Upacara Urung bagi perkahwinan disebut “Ansaluang” atau ritual masuk rumah bertujuan menghalau roh jahat menyertai dan mengganggu tetamu sepanjang majlis berjalan,” katanya kepada Bernama, di sini.

Atun berkata persiapan menyediakan upacara ritual Urung melibatkan pembinaan sebuah menara setinggi 7.62 meter bagi menempatkan sebuah patung diperbuat daripada kayu lembut yang diukir menyerupai wajah manusia.

Patung itu disebut sebagai “Tiningkoulun” dan dihias dengan dua helai juntaian kain sarung, katanya.

“Di menara itu juga terdapat enam juntaian kain sarung dan dua juntaian kain berwarna merah dan biru yang dipasang menegak mengelilingi Tiningkoulun (patung).

Selain itu, kraftangan manik hasil kerja tangan kaum wanita Murut digantung di bahagian tengah menara tersebut selain peralatan menangkap ikan seperti bubu, jala dan topi diletakkan di bahagian bawah,” katanya.

Atun berkata seorang pemimpin dalam kalangan etnik Murut dipanggil sebagai “Ansa’al” akan dipilih mengetuai upacara ritual itu menggunakan selaras senapang bagi menembak dan menjatuhkan kain terjuntai di menara yang dibina.

Ansa’al akan memulakan upacara itu dengan berdoa memohon supaya roh jahat tidak mengganggu keluarga, tetamu dan seluruh kaum berkenaan, katanya.

“Jika tembakan dilakukan oleh Ansa’al berjaya menjatuhkan juntaian kain tersebut bermakna majlis boleh diteruskan, tetapi sekiranya gagal sehingga peluru habis, maka satu upacara berlainan disebut sebagai “Amparawak” atau majlis tolak bala perlu dilakukan agar majlis yang telah diatur dapat dijalankan,” katanya.

Bagaimanapun kepercayaan terhadap upacara ritual Urung dalam kalangan generasi muda etnik Murut semakin pupus yang antara lain disebabkan faktor keagamaan, perkahwinan campur dan kemodenan masa kini, katanya.

— BERNAMA

11