Pulangkan segera ubat darah tinggi ada losartan

ORANG ramai diminta tidak panik berikutan penggantungan dan penarikan balik tujuh produk ubat untuk pesakit darah tinggi yang mengandungi losartan, sebaliknya memulangkan semula kepada pembekal jika masih menyimpan bekalan ubat berkenaan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, setakat ini bahan tidak dibenarkan yang terdapat dalam ubatan berkenaan tidak mempunyai kesan sampingan segera sebaliknya kesan jangka masa panjang.

“Jika ada pesakit yang masih mempunyai ubat berkenaan, mereka harus memulangkan segera kepada pembekal. Tidak perlu panik, hentikan penggunaan ubat dan serahkan kembali kepada pembekal.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah pun menarik balik ubat itu dari pasaran dan mengikut rekod sepatutnya (bekalan ubat berkenaan) sudah tiada dalam pasaran kecuali kepada mereka yang masih menyimpan ubat dalam stok yang lama,” katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia Peringkat Negeri Perak di Ipoh, hari ini.

Beliau mengulas mengenai penarikan semula tujuh produk ubat-ubatan yang dikesan mengandungi bahan aktif losartan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

Tujuh produk itu ialah LOSAGEN 50 (Losartan Potassium Tablets 50mg); LOSAGEN 100 (Losartan Potassium Tablets 100 Mg); Losartas 50mg Tablets (Losartan Potassium Tablets 50mg) dan Losartas 50mg Tablets (Losartan Potassium Tablets 50mg).

Turut digantung pendaftaran ialah produk Losartas 100mgc Tablets (Losartan Potassium Tablets 100 Mg); TOZAAR PLUS LS 50/12.5mg Tablet (Losartan Potassium/ Hydrochlorothiazide); Tozaar 50mg Tablet (Losartan Potassium Tablets 50mg) dan Tozaar Tablets 100mg (Losartan Potassium Tablets 100 Mg).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan semalam berkata, tindakan tegas itu diambil selepas Pihak Berkuasa Sains Kesihatan Singapura (HSA) mengeluarkan notis panggil balik ke atas tiga produk yang mengandungi losartan daripada sumber bahan aktif dikeluarkan syarikat Hetero Labs Limited, India kerana kehadiran impuriti N-nitroso-Nmethyl-4-aminobutyric acid (NMBA).

Katanya, impuriti itu berkemungkinan boleh menyebabkan kanser kepada pengguna dalam tempoh jangka masa panjang.

Dr Boon Chye berkata, KKM sentiasa membuat pemantauan secara rawak dalam memastikan ubat yang dipasarkan di negara ini adalah selamat. – Harian Metro

46