Warga emas ditahan disyaki rogol kanak-kanak lembam

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga emas mempunyai tiga cucu ditahan polis selepas disyaki merogol seorang kanak-kanak berusia 11 tahun di rumahnya di Jalan Lintas, di sini, tengah malam tadi.

Suspek berusia 66 tahun ditahan kira-kira jam 12 tengah malam selepas polis menerima laporan mengenai kejadian itu, petang semalam.

Difahamkan, suspek dipercayai melakukan perbuatan terkutuk itu di rumahnya pada Jun 2018 lalu.

Ketika itu, suspek mengajak mangsa yang juga jirannya masuk ke rumah lalu membawanya ke dalam bilik tidur sebelum bertindak merogol mangsa yang juga orang kurang upaya (OKU) lembam.

Kejadian yang menimpa mangsa itu terbongkar apabila rakan kepada mangsa menceritakan kepada ibu mangsa pada 3 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi, mengesahkan mengenai kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Susulan laporan daripada keluarga mangsa, sepasukan polis menahan suspek di rumahnya tengah malam tadi.

“Soal siasat masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *