Selesaikan pengebumian Stephen Wong dahulu

FRANKIE Poon ketika sidang media di Ibu Pejabat DAP Sabah di Kota Kinabalu. FOTO Malai Rosmah Tuah

HAL berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan hanya akan dibincangkan DAP selepas urusan pengebumian penyandang kerusi itu, Datuk Stephen Wong Tien Fatt, selesai.

Mendiang Stephen Wong meninggal dunia akibat serangan jantung ketika dirawat di Hospital Queen Elizabeth (QEH), Kota Kinabalu pada 12.15 tengah hari semalam.

Jenazahnya dijangka disemadikan pada Isnin di Sandakan.

Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, pihaknya tidak membincangkan lagi hal PRK kerana mahu memberi masa untuk menyelesaikan pengebumian mendiang.

“Kita tumpukan dulu kepada mendiang sebagai tanda hormat kepadanya, ia tidak mengambil masa yang lama,” katanya pada sidang media sempena upacara pengebumian mendiang di Ibu Pejabat DAP Sabah, hari ini.

Frankie Poon berkata, jenazah mendiang ketika ini ditempatkan di Fook Lu Siew Funeral Parlour, Kota Kinabalu bagi memberi peluang kepada orang ramai memberi penghormatan terakhir sebelum dibawa ke Sandakan, pagi esok.

Katanya, di Sandakan, ia akan ditempatkan di San Fook Hing Funeral Parlour, sehingga Ahad sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Kristian, Batu 4, Sandakan pada 8.30 pagi Isnin.

Mendiang yang juga Pengerusi DAP Sabah dikenali sebagai ahli parlimen yang memperjuangkan hak dan kesaksamaan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dalam Persekutuan Malaysia. – Harian Metro

174