Guru di pedalaman menang RM4 juta

Peter Tabichi

DUBAI: Guru matematik dan fizik sekolah menengah di kampung pedalaman di Lembah Rift, Kenya memperoleh wang kemenangan AS$1 juta (RM4 juta) selepas memenangi Hadiah Guru Global 2019, kata penganjur.

Peter Tabichi yang menyumbangkan 80 peratus daripada pendapatan bulanannya kepada penduduk miskin, menerima hadiah itu dalam satu majlis di Dubai kelmarin, yang dihoskan pelakon terkenal Hollywood, Hugh Jackman.

“Setiap hari di Afrika kami membuka muka surat baru dan bab baru. Hadiah ini tidak sekadar mengiktiraf saya tetapi mengiktiraf golongan muda di benua itu. Saya di sini kerana pencapaian pelajar saya,” kata Tabichi.

“Hadiah ini memberi peluang kepada mereka. Ia memberitahu dunia bahawa mereka boleh melakukan apa sahaja,” katanya menewaskan sembilan calon akhir dari seluruh dunia.

Penganjur acara itu, Yayasan Varkey yang menyerahkan hadiah buat kali kelima, memuji dedikasi Tabichi, kerja keras dan mempercayai bakat pelajar yang ditunjukkannya.

Tabichi, 36, mengajar di Sekolah Menengah Keriko Mixed Day di kampung Pwani, pedalaman Lembah Rift, Kenya, kerap dilanda kemarau dan kebuluran.

Kira-kira 95 peratus pelajar datang daripada keluarga miskin, hampir satu pertiga adalah anak yatim piatu atau yatim dan ramai yang tidak mempunyai makanan di rumah.

Penyalahgunaan dadah, remaja hamil, berhenti sekolah awal, kahwin muda dan bunuh diri adalah perkara biasa. – AFP

TABICHI menjulang tofi diterimanya dalam satu majlis di Dubai, kelmarin.
9