Penduduk Penampang nikmati pengangkutan percuma

PENAMPANG: Penduduk kurang berkemampuan di daerah ini berpeluang menikmati perkhidmatan pengangkutan ke Poliklinik Penampang secara percuma bermula hari ini.

Van berkapasiti 10 penumpang itu beroperasi setiap satu jam bermula jam 7.30 pagi hingga 5 petang pada hari Isnin hingga Jumaat ke Poliklinik Penampang yang terletak kira-kira tiga kilometer (km) dari Pusat Teknologi & Komersial Antarabangsa Penampang (ITCC).

Van itu akan mengambil penumpang di ITCC dan Pekan Donggongon sebelum menurunkan penumpang di Poliklinik Penampang.

Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Sabah, Jannie Lasimbang, berkata van itu boleh digunakan oleh sesiapa saja yang mahu ke Poliklinik Penampang untuk mendapatkan rawatan atau menghadiri temu janji di klinik itu.

“Tinjauan mendapati parkir di Poliklinik Penampang terhad dan ia menyukarkan pengunjung yang mendapatkan rawatan atau menghadiri temu janji di klinik berkenaan.

“Selain itu, perkhidmatan ini membantu mengurangkan beban bagi mereka yang tidak mampu kerana kos untuk ke klinik itu juga terlalu mahal, sekiranya menaiki kereta sapu atau perkhidmatan Grab yang mencecah sehingga RM20 untuk perjalanan pulang dan balik,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Kenderaan Ke Klinik N19 Kapayan, di Pekan Donggongon, hari ini.

Jannie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kapayan berharap, perkhidmatan itu akan memberi manfaat kepada penduduk sekitarnya untuk ke klinik di Penampang.

Sementara itu, penduduk Kampung Hungap, Filipa Wong, 55, berkata, sebelum ini dia menggunakan perkhidmatan bas biasa untuk ke Poliklinik Penampang namun terpaksa menunggu selama 30 minit hingga satu jam sementara bas itu dipenuhi penumpang.

“Bayaran menaiki bas biasa memang murah iaitu RM1.50 bagi setiap perjalanan tetapi mengambil masa yang lama untuk sampai ke klinik kerana menunggu penumpang penuh.

“Jadi dengan adanya perkhidmatan ini yang bukan saja percuma tetapi juga menjimatkan masa kerana van ini sentiasa ada untuk setiap jam,” katanya yang mendapat rawatan di Poliklinik Penampang setiap tiga kali sebulan.

Bagi Albert Hendry, 55, pula, dia menyambut baik perkhidmatan percuma yang disediakan itu kerana ia memudahkan masyarakat setempat yang mahu ke Poliklinik Penampang untuk mendapatkan rawatan.

“Sebelum ini saya bawa bapa saudara ke Klinik Kesihatan Putatan namun sejak awal bulan ini, dia ditukar mendapatkan rawatan di Poliklinik Penampang.

“Bagi saya ia menyukarkan orang awam kerana kawasan klinik itu kekurangan parkir dan bagi warga emas atau pesakit kurang berkemampuan untuk bergerak, ia menjadi semakin sukar kerana mereka perlu berjalan jauh serta berbukit untuk ke klinik itu dari kawasan parkir.

“Kini saya tidak lagi perlu memandu ke klinik berkenaan tetapi hanya parkir di ITCC dan seterusnya membawa bapa saudara ke klinik itu dengan menaiki van terbabit,” katanya. – Berita Harian

Jannie (duduk dua dari kiri) ketika melancarkan Kenderaan Ke Klinik N19 Kapayan, di Pekan Donggongon, hari ini.
Orang ramai mula menggunakan khidmat van percuma selepas pelancaran perkhidmatan kenderaan ke klinik di pekan Donggongon.
Jannie (duduk dua dari kiri) ketika melancarkan Kenderaan Ke Klinik N19 Kapayan, di Pekan Donggongon, hari ini.
22