Kerajaan Negeri masih tunggu agihan pendapatan cukai pelancongan

Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew – Foto Facebook Datuk Christina Liew

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Sabah masih menunggu pengagihan pendapatan cukai pelancongan daripada kerajaan Persekutuan yang belum disalurkan sejak suku ketiga 2017 sehingga penghujung 2018.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata, sejumlah 50 peratus jumlah cukai pelancongan yang dijanjikan Menteri Kewangan Lim Guan Eng akan disalurkan pada suku pertama 2019.

“Pendapatan ini penting kepada Sabah dalam meningkatkan sektor pelancongan dalam negeri ini.

“Sektor pelancongan Sabah mencatatkan pendapatan tertinggi dalam sejarah iaitu RM8.342 bilion pada 2018, ia meningkat sebanyak 5.3 peratus berbanding 2017 yang hanya mencatat sebanyak RM7.83 bilion,” katanya ketika dalam perbahasan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tawau berkata, Tawau mempunyai potensi besar untuk dibangunkan dalam sektor pelancongan dan boleh menjadikan lapangan terbang bandar itu kedua terbesar di Sabah.

Sementara itu, Christina juga menjelaskan bahawa terdapat keperluan untuk menambah jumlah bilik darjah di dua sekolah rendah di Tawau.

“Sekolah Kebangsaan Andrassy dan SK Ranggu wajar diberikan perhatian untuk menambah enam lagi bilik darjah bagi memenuhi peningkatan bilangan murid di kawasan berkenaan.

“SK Tanjung Batu kini berada di tahap yang tidak baik walaupun ia terletak di kawasan bandar. Sekolah yang dibina pada 1980 ini dilihat tidak lagi selamat untuk digunakan.

“Bilik darjah sekolah berkenaan perlu ditukar. Selain itu, satu blok bangunan kelas di Sekolah Menengah Kebangsaan Wallace Bay turut musnah dalam kebakaran pada Julai 2018. Keadaan itu menyebabkan para guru terpaksa mengajar di kelas sementara yang disediakan,” katanya.

Selain itu, katanya, Hospital Tawau juga memerlukan mesin mamogram yang baharu bagi menampung rawatan terhadap golongan wanita di bandar berkenaan.

Berkaitan komitmen kerajaan Persekutuan untuk meminda Artikel 1(2) Perlembagaan Persekutuan untuk menjadikan Sabah dan Sarawak rakan sekutu dengan Semenanjung Malaysia, Christina berkata ia adalah satu langkah positif dan berharap usaha itu akan menjadi legasi kepada Kerajaan Pakatan Harapan.

Sementara itu, berkaitan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya Sabah, beliau menjelaskan kepada Dewan Rakyat bahawa perkara itu sudah diluluskan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Ogos 2016 yang bersetuju jumlah kerusi DUN akan ditambah dari 60 kepada 73 kesemuanya.

“Saya ingin mengetahui apakah tindakan yang diambil oleh Kerajaan Pusat bagi menghormati keputusan DUN Sabah,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *