Joan Lee dinobat Pegawai Penyiasat Trafik Terbaik Sabah 2019

JOAN menunjukkan sijil penghargaannya sebagai Pegawai Penyiasat Terbaik (Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik) Kontinjen Sabah 2019.

TAWAU: Pegawai polis IPD Tawau ASP Joan Lee dinobatkan sebagai Pegawai Penyiasat Terbaik (IO) (Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik) Kontinjen Sabah 2019 sempena sambutan peringatan Hari Polis ke-212 pada Isnin.

Anugerah dalam bentuk sijil penghargaan itu disampaikan Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus yang mewakili Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah.

Joan, 51, berkata pengiktirafan itu disifatkannya penghargaan tugas bidang kepolisan yang menuntut sikap murni, berdisiplin, berintegriti tinggi dan sarat pengorbanan.

“Pelbagai pengalaman ditempuhi sepanjang berkhidmat dalam bidang kepolisan semenjak 1998, dan kes kemalangan empat maut serta seorang parah, paling mencabar.

“Kes di Jalan Chong Thien Vun, hadapan Pusat Komersil BDC (1Arena) tahun lepas, adalah kes kemalangan maut paling besar yang pernah saya kendalikan,” katanya.

Menurutnya, kes terbabit meninggalkan kesan cukup mendalam dalam kehidupannya, malah kes itu menarik perhatian umum dari awal hingga pesalah menerima hukuman.

Sepanjang mengendalikan siasatan kes itu juga, beliau sedaya upaya menjalankan siasatan dengan rapi dan terperinci tanpa mengira kepentingan diri atau keluarga.

Joan berkata hukuman pemandu wanita di dalam kes itu, iaitu penjara 17 tahun dan denda RM39,000 adalah yang tertinggi pernah direkodkan di Sabah.

“Saya percaya kejayaan siasatan kes ini sehingga tertuduh berjaya dibuktikan bersalah dan dijatuhkan hukuman berat menjadi faktor saya dinobatkan IO terbaik,” katanya.

Menyentuh cabaran dunia kepolisan, pegawai polis lulusan Sarjana Muda Pengurusan (Kepujian) 2009 itu menyifatkan era digital kini turut mempengaruhi tugas mereka.

Khususnya, media sosial seperti Facebook yang lebih terbuka sehingga netizen boleh berkongsi komentar dengan sesuka hati walaupun tanpa fakta atau tidak benar.

“Media sosial juga dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap sesebuah organisasi atau individu menerusi kritikan-kritikan yang ditulis netizen tanpa usul periksa.

“Pada masa sama, seperti slogan PDRM iaitu ‘polis dan masyarakat berpisah tiada’, saya percaya kedua-dua pihak saling memerlukan antara satu sama lain,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menaruh harapan supaya hubungan polis dan masyarakat akan terus terjalin erat demi usaha bersama menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

Ibu kepada dua cahaya mata itu juga berkata polis bertanggungjawab membanteras jenayah, namun masyarakat perlu berperanan sebagai ‘mata dan dan telinga’ polis.

“Sejajar dengan usia 212 tahun PDRM, saya berharap bidang kepolisan akan sentiasa relevan dan bertambah maju jaya memastikan negara terus aman dan damai,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, seramai 24 pegawai dan anggota polis IPD Tawau serta enam orang awam, turut menerima sijil penghargaan yang diserahkan oleh Fadil. – oleh AMIR ANUAR / Utusan Borneo

14