Lahir di Malaysia bukan automatik jadi warganegara

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman

KELAHIRAN di Malaysia tidak menyebabkan seseorang individu itu akan memperoleh kewarganegaraan secara automatik.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, Kementerian Dalam Negeri melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hanya merekodkan status seseorang individu sebagai warganegara atau bukan berdasarkan kepada status perkahwinan dan taraf kewarganegaraan ibu bapa individu sewaktu kelahiran berlaku.

Justeru kata Mohd Azis, tiada individu yang direkodkan sebagai tanpa kewarganegaraan di negara ini.

“Namun, sekiranya ibu bapa mendaftar lewat perkahwinan selepas kelahiran kanak-kanak, manakala ibunya bukan warganegara, maka permohonan kewarganegaraan boleh dikemukakan kepada JPN di bawah Perkara 15A.

“Ia akan dipertimbangkan sekiranya memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan perundangan berkaitan,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Ngeh Koo Ham (PH- Beruas) di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Azis berkata, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa atau penjaga untuk menguruskan dokumen pengenalan diri dan dokumen perjalanan dengan negara asal kanak-kanak bertaraf bukan warganegara sebelum mereka berusia 21 tahun.

“Ini bagi mengelakkan isu keberadaan yang tidak sah di negara ini,” katanya.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan dari Koo Ham mengenai penyelesaian terhadap isu kanak-kanak tanpa warganegara, Mohd Azis berkata, bebanan pembuktian kewarganegaraan anak adalah tanggungjawab ibu bapa, bukannya kerajaan.

Katanya, ramai ibu bapa di negara ini yang tidak mendaftarkan perkahwinan dan anak yang bakal lahir itu akan menanggung masalah mereka.

“Jadi, jika berani kahwin, beranilah untuk daftar dan tanggung kerana implikasinya akan berlaku kepada anak kelak.

“Ini kerana adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan supaya anak yang akan dilahirkan memiliki dokumen sah.

“Meskipun banyak kes yang dilaporkan, namun kerajaan masih menerima permohonan (kewarganegaraan) tetapi bukan menerusi Perkara 14 sebaliknya ia dipertimbangkan di bawah Perkara 15 A,” katanya. – Harian Metro

21