Penduduk tempatan lindung umat Islam solat

PENDUDUK tempatan lindung umat Islam ketika menunaikan solat. – Foto AFP

CHRISTCHURCH: Penduduk Islam di bandar raya Christchurch menunaikan solat di depan salah satu masjid yang menjadi sasaran pengganas kulit putih Jumaat lalu dengan dikawal ketat oleh penduduk tempatan, selepas ratusan daripada mereka melakukan persembahan ‘haka’.

Pemandangan amat menyentuh hati itu adalah tindakan terbaru solidariti ditunjukkan penduduk bandar raya berkenaan yang masih goyah dengan serangan terburuk ke atas umat Islam itu.

Sepanjang lima hari lalu sekumpulan kecil penduduk Islam menunaikan solat asar di depan masjid Al Noor, satu daripada dua lokasi serangan pengganas Jumaat lalu yang mengorbankan 50 jemaah.

Sejak itu, komuniti di Christchurch bersama-sama menunjukkan solidariti susulan serangan berkenaan.

Ketika lelaki, wanita dan kanak-kanak bersolat, puluhan penduduk tempatan berdiri di belakang mereka, dengan tangan saling berkait.

“Jantung saya berdegup kencang, ia sesuatu yang sukar dipercayai. Saya sukar menggambarkannya.

“Melihat komuniti amat rapat antara satu sama lain, ia amat mengagumkan,” kata seorang daripada mereka, Omar, 32, yang datang dari Sydney awal minggu ini.

Terdahulu, ratusan penduduk menumbuk dada masing-masing, menghentak kaki dan menjelirkan lidah untuk mempersembahkan tarian haka, teriakan Maori kedengaran di seluruh kawasan masjid dicemari berdarah itu. — AFP

106