5 pasangan ditangkap bercumbu disebat di Aceh

PENDUDUK menyaksikan hukuman sebat di Banda Aceh. – Foto AFP

BANDA ACEH: Lima pasangan belum berkahwin disebat di Aceh hari ini selepas ditangkap bercumbu, perbuatan jenayah menurut undang-undang Syariah yang dilaksanakan di wilayah itu.

Sebatan adalah hukuman biasa di Aceh untuk pelbagai kesalahan, termasuk berjudi, meminum alkohol dan mengadakan hubungan sejenis.

Aceh adalah satu-satunya wilayah di Indonesia yang melaksanakan undang-undang Islam.

Lima pasangan itu menerima antara empat dan 22 sebatan di luar masjid di Banda Aceh, selepas menjalani hukuman penjara beberapa bulan.

Polis pencegah maksiat menangkap mereka berpelukan dan berpegangan tangan, dan dalam beberapa kes, mengadakan hubungan seks.

Orang ramai, termasuk kanak-kanak, melihat ketika individu bertopeng yang menjalankan hukuman merotan pesalah.

“Kami harap pada masa depan, tiada lagi kes seperti ini. Ia memalukan,” kata seorang pegawai agama, Safriadi.

Disember lalu, dua lelaki yang ditangkap merogol gadis bawah umur disebat 100 rotan setiap seorang di wilayah itu. — AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *