Terkejut jumpa bangkai ikan gergasi

STEVEN Jones (kanan) bersama rakannya, Hunter bergambar bersama bangkai ikan matahari yang ditemui mereka. FOTO Agensi

Canberra: Dua pemancing terkejut dan hampir tidak percaya apabila menemui bangkai ikan matahari gergasi yang terdampar di pantai.

Steven Jones dan rakannya, Linette Grzelak menemui ikan itu di satu kawasan pantai Goolwa Pipico yang terletak kira-kira 25 kilometer dari River Murray, sebuah destinasi memancing serta pelancongan popular di Australia Selatan.

Ikan matahari itu dianggarkan sepanjang 2.5 meter dengan berat mencecah beberapa ratus kilogram.

Grzelak yang memuat naik gambar ikan itu di Facebook berkata, dia pada mulanya menyangka ikan itu adalah kayu kerana ia terlalu besar.

“Pada mulanya saya menyangka ianya palsu. Jones menemuinya terdampar di pantai dan ia kelihatan seperti kayu yang besar,” katanya yang dipetik Mail Online.

Ikan matahari atau dikenali sebagai mola mola boleh membesar hingga mencecah tiga meter panjang dengan berat mencecah 2.5 tan. Ia juga sangat jarang ditemui kerana habitatnya di laut dalam dan terpencil. – Agensi

IKAN matahari sering disangka seekor jerung kerana siripnya. FOTO Agensi

116