Siri akhir Konsert Jelajah Malaysia Maher Zain 2019 di Sabah melabuh tirai

KOTA KINABALU- Siri Konsert Jelajah Malaysia Maher Zain 2019 di Sabah melabuhkan tirainya selepas penyanyi kelahiran Lubnan itu mendendangkan lagu “Baraka Allah” yang memukau peminatnya di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini malam ini.

Persembahan selama dua jam itu turut mendendangkan lagu yang memperkenalkan namanya di persada seni antarabangsa termasuk lagu “’Insya Allah”, “For the rest of My Life”, dan “One Day”.

Turut menyaksikan persembahan penuh gemilang itu ialah Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin bersama isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan isteri juga bersama-sama memeriahkan persembahan penyanyi kelahiran Lubnan itu.

Penyanyi, penulis dan penerbit itu juga tidak ketinggalan menyebut “Boleh bah kalau kau” yang begitu popular bagi masyarakat di Sabah.

Penyanyi warga Sweden berusia 36 tahun itu juga terkenal dengan lagu berunsur kerohanian antaranya “True Love”, “Assalamu Alayka” dan “Ya Nabi”.

Beliau bersama-sama penonton juga menghadiahkan Al-Fatihah kepada mangsa tembakan di dua masjid di Christchurch, New Zealand pada Jumaat lalu.

Maher sebelum ini telah menghiburkan para peminatnya di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang sempena Konsert Jelajah Malaysia.

Konsert itu dibawakan oleh CIMB Islamic Bank Berhad dan dianjurkan oleh New Catalysts Resources dan MyEvents International dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) serta Sinar Harian sebagai rakan kongsi media rasmi.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *