Tulang manusia ditemukan dalam perut buaya

Foto Media Sosial

SARIKEI, 17 Mac – Tulang-tulang manusia dipercayai milik pekerja ladang yang dilaporkan hilang di Sungai Loba Stabar, Ladang Zumida Oil Palm Sdn Bhd dekat Tanjung Manis minggu lepas, ditemukan di dalam perut bangkai seekor buaya kira-kira pukul 3.30 petang tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Meradong, Insp Ricky Tan You Hook berkata pada awalnya seorang pengurus ladang memaklumkan kepada pihaknya mengenai penemuan seekor buaya oleh seorang pawang buaya di Sungai Loba Stabar pada kira-kira pukul 8.00 pagi.

Beliau berkata buaya yang telah mati itu kemudiannya dibawa ke kawasan ladang pada pukul 2.50 petang menggunakan kenderaan bomba untuk diperiksa oleh pawang berkenaan, dan hasil pemeriksaan isi perut buaya itu, beberapa anggota badan manusia ditemui.

Menurutnya ia terdiri daripada bahagian lengan kanan dan jari, tempurung kepala, tulang bahagian punggung, sebahagian tulang belakang, beberapa batang gigi, tulang rahang dan beberapa tulang lain bahagian badan.

“Setakat ini tidak pasti sama ada ia adalah tulang-tulang pekerja ladang berkenaan. Kita tunggu keputusan ujian oleh Jabatan Kimia,” katanya kepada BERNAMA ketika dihubungi melalui aplikasi whatsapp malam ini.

Bangkai buaya itu kemudiannya ditanam selepas kandungan perutnya habis diperiksa.

Pada kejadian malam 10 Mac lalu, seorang pekerja ladang warganegara Indonesia, Yosep Tesu didapati hilang oleh rakan senegaranya semasa dia membuang air kecil di parit besar di Ladang Zumida berkenaan.

Sebelum kejadian, pemuda berumur sekitar 20-an itu dikatakan dalam perjalanan balik ke tempat kerjanya di sebuah ladang sawit di Sibu, selepas menziarahi rakannya, dan buaya sepanjang 4.27 meter berukuran 0.6 meter lebar itu berjaya ditangkap kira-kira 2 kilometer dari lokasi beliau dilaporkan hilang.

— BERNAMA

Foto Media Sosial
Foto Media Sosial
Foto Media Sosial

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *