Racun anak dengan darah sendiri

RAKAMAN CCTV menunjukkan Elizabeth suntik anaknya dengan darah sendiri. -Foto Mirror.co.uk

VIRGINIA: Seorang ibu tergamak meracunkan anaknya dengan menyuntik darah sendiri ke dalam badan kanak-kanak berusia lima tahun itu semata-mata mahu menarik perhatian pegawai perubatan.

Mirror Online melaporkan, rakaman CCTV dalam wad pesakit menunjukkan Elizabeth Malone, 29, menyuntik darahnya dalam hidung dan mulut kanak-kanak kurang upaya itu ketika dia terlantar atas katil.

Doktor mula berasa hairan apabila mangsa yang bisu sukar sembuh biarpun dimasukkan dalam unit penjagaan rapi dan mempercayai dia boleh meninggal dunia sekiranya tidak dirawat dengan teliti.

Pada April lalu, seorang jururawat menemui picagari dalam lengan baju Elizabeth serta sapu tangan berdarah di bilik air.

Susulan itu, pihak hospital memasang CCTV dalam wad mangsa di hosptal Fairfax County.

Sebelum perbuatan wanita itu terbongkar, pihak hospital sudah menghubungi jabatan perlindungan kanak-kanak kerana khuatir mangsa sengaja dicederakan.

Mangsa sudah tujuh kali dimasukkan ke hospital dalam tempoh dua bulan disebabkan pendarahan dan kini sihat sepenuhnya.

Peguam Elizabeth memberitahu mahkamah wanita itu tidak berniat mencederakan mangsa, namun suka melihat respons anaknya ketika mengalami pendarahan.

Rabu lalu, Elizabeth mengaku bersalah atas pertuduhan mendera kanak-kanak dan akan menjalani hukumannya pada Julai ini. – Agensi

86