Nelayan Mabuk Maut Kemalangan

Mangsa tercampak ke tengah jalan manakala rakannya tercampak kira-kira 50 meter berhampiran hadapan pintu masuk sebuah gereja. Gambar SNT / Ihsan IPD Tawau

TAWAU: Seorang nelayan disyaki mabuk maut manakala rakannya cedera selepas motosikal yang ditunggang terbabas dalam kemalangan di Jalan Masjid, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 1.30 pagi itu, mangsa berusia 21 tahun meninggal dunia akibat kecederaan di bahagian dada.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, 
siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha bergerak dari Flat Kampung Titingan menuju ke Kampung Tengku Osman untuk menghantar rakannya ke rumah saudaranya.

“Ketika tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pagar keselamatan di laluan pejalan kaki.

“Akibat kemalangan itu mangsa tercampak ke tengah jalan manakala rakannya tercampak kira-kira 50 meter berhampiran hadapan pintu masuk sebuah gereja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadil berkata, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut.

Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha meninggal dunia akibat kecederaan di bahagian dada. Gambar SNT / Ihsan IPD Tawau

“Bagaimanapun, mangsa yang menunggang motosikal meninggal dunia dan hasil bedah siasat yang dilakukan mendapati mangsa maut akibat kecederaan di bahagian dada.

“Hasil maklumat yang diperoleh mendapati rakannya mengaku telah minum minuman beralkohol bersama mangsa sebelum kejadian berlaku,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *