Wafa Abdul Kadir meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Pelakon popular era 1990-an, Wafa Abdul Kadir, 52, meninggal dunia di rumahnya di Petaling Jaya, Selangor, awal pagi tadi selepas hampir lima tahun bertarung dengan kanser peritoneal.

Allahyarhamah Wafa dilapor menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 1 pagi tadi dengan meninggalkan suami, Tajul Faizal Tamimuddin, 52, dan beberapa anak.

Personaliti televisyen, Ras Adiba Radzi yang menganggap arwah sebagai ‘kak long’, mengesahkan perkara itu ketika dihubungi BH, sebentar tadi.

Beliau berkata, jenazah arwah akan dibawa ke Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, di sini, untuk disembahyangkan.

“Jenazah arwah kemudian akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini, sebelum solat zohor,” katanya.

Dalam pada itu, berita pemergian pelakon filem Azizah The Legend itu turut dikongsi sahabatnya, Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar, dalam laman Facebook.

Laporan sebelum ini menyebut Wafa disahkan menghidap kanser ovari tahap empat pada April 2015.

Berikutan itu, beliau terpaksa membuang keseluruhan organ wanita, iaitu ovari, tiub fallopio, rahim dan omentum (lapisan yang menutup bahagian perut).

Selepas pembedahan itu, Wafa kembali sihat tetapi pada awal 2016, beliau berdepan pula dengan kanser peritoneal.

Allahyarhamah juga dilaporkan sudah menjalani 18 sesi kemoterapi bagi menghapuskan sel kanser.

Wafa adalah anak bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Allahyarham Tan Sri Abdul Kadir Talib. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *