Serangan masjid di NZ bukti permusuhan terhadap Islam

ISTANBUL – TURKI. Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan mengutuk serangan berdarah yang menyasarkan dua buah masjid di Christchurch dan menegaskan ia bukti permusuhan yang semakin meningkat terhadap Islam.

Serangan di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood meragut 49 nyawa setakat ini dan seorang penyerang warga Australia bernama Brenton Tarrant dengan angkuh menyiarkan secara langsung serangan yang dilakukan, selain memuat naik manifesto atas talian mengandungi alasan mengapa dia melakukan serangan.

“Serangan, kekejaman terhadap Islam yang dipandang sepi oleh dunia malah adakala disokong, telah mencapai tahap pembunuhan beramai-ramai.

“Sekiranya tindakan segera tidak diambil, insiden seumpama ini mungkin terjadi lagi…saya menyeru dunia, terutama negara Barat untuk mengambil langkah segera membendung keganasan ini,” katanya ketika menghadiri pengebumian seorang bekas menteri Turki.

Terdahulu,di laman Twitter Erdogan mengutuk sekeras-kerasnya serangan terbabit dan mendoakan agar Allah merahmati mangsa yang terkorban dan memberi kesembuhan kepada mangsa yang cedera.

Ratusan jemaah di Masjid Fatih di Istanbul turut berhimpun selepas solat Jumaat dan mengutuk serangan berdarah terbabit dan mendesak agar keganasan global segera dihentikan. – AFP

238