BERSATU bawa harapan baharu

Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun

KOTA KINABALU: Penerimaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) terhadap bekas wakil rakyat UMNO di negeri ini membawa harapan baharu di kawasan diwakili mereka, khususnya aspek pembangunan.

Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun, berkata keutamaan mereka apabila menyertai BERSATU untuk memastikan pembangunan berterusan kepada rakyat, lebih-lebih lagi di kawasan luar bandar.

“Sudah tentu pembangunan berterusan untuk rakyat (diutamakan) memandangkan kawasan Beaufort adalah kawasan luar bandar.

“Pembangunan bukan saja dalam bentuk fizikal atau infrastruktur seperti bangunan, jalan raya, jambatan dan rumah untuk golongan B40, malah yang penting ialah pendidikan anak-anak, peluang meningkatkan ekonomi orang muda dan wanita serta kesejahteraan sosial masyarakat orang asal dan rakyat keseluruhannya.

“Harapan saya dalam tempoh empat tahun ini beberapa program berkaitan akan dapat dilaksanakan di kawasan Parlimen Beaufort, insya-Allah dengan gabungan kerjasama kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya, di sini, hari ini.

Azizah keluar UMNO bersama beberapa pemimpin lain pada Disember lalu untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas.

Semalam, beliau antara empat Ahli Parlimen yang diterima secara rasmi dalam BERSATU selepas menerima kad keahlian parti berkenaan daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tiga lagi ialah Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat), Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran) dan Datuk Zakaria Edris (Libaran).

Turut menerima kad keahlian BERSATU ialah dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan dua Ahli Dewan Negara iaitu Datuk Hajiji Noor (Sulaman) dan Datuk Masidi Manjun (Karanaan) serta Senator Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin dan Senator Datuk John Ambrose.

Sementara itu, Ronald berkata, beliau berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) dapat mempercepatkan proses pembangunan di kawasannya selepas beliau menjadi sebahagian daripada wakil rakyat kerajaan.

Katanya, kedudukan itu juga membolehkannya berkhidmat dengan lebih baik kepada rakyat di kawasannya.

“Saya mahu dapat meneruskan usaha membantu rakyat di kawasan saya. Politik adalah berkaitan dengan pembangunan, apa gunanya berada dalam parti jika hanya buat bising di sana sini tetapi tidak dapat membantu rakyat,” katanya.

Ronald berkata, Beluran adalah antara kawasan yang mencatat kadar kemiskinan tinggi dengan dua angka di Sabah seperti dilaporkan dalam laporan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-11 yang dibentangkan di Parlimen baru-baru ini.

Ditanya sebab beliau memilih BERSATU sebagai landasan baharu perjuangan politiknya, Ronald berkata beliau memahami perbezaan di antara menjadi Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang berdasarkan pengalaman menjadi Ahli Parlimen sejak tahun 1999.

“Saya percaya BERSATU dapat membantu saya dengan lebih baik sebagai Ahli Parlimen. Rakyat di kawasan saya menyokong keputusan ini (menyertai BERSATU), malah sejak dari mula lagi apabila kerajaan sebelum ini kalah, ada yang menasihatkan saya supaya menukar parti,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *