Raih RM7,000 sebulan hasil ternak ketam lembut

SUHAILI Abdurahman menunjukkan ketam yang melalui proses penggemukkan di sangkar Projek Ternakan Ketam Lembut di Kampung Bambangan, Sandakan. – NSTP/Poliana Ronnie Sidom

SANDAKAN: Titik peluh seorang bapa tiga anak berjaga malam untuk menternak ketam lembut kira-kira enam tahun lalu berbaloi apabila meraih pendapatan sehingga RM7,000 sebulan daripada hasil ternakan itu.

Suhaili Abdurahman, 39, menggunakan modal RM700 menternak ketam lembut sejak tahun 2013 dengan permulaan enam sangkar di perairan Kampung Bambangan, dekat sini.

Idea untuk menternak ketam itu timbul selepas sering melihat sangkar ketam berkenaan yang dibina rakannya di kawasan perairan Pulau Timbang, di sini, selain mencari maklumat menerusi internet.

Namun, hari ini, usahawan yang sebelum ini cuma nelayan biasa dan pernah menjadi pemandu lori, boleh berbangga apabila berjaya memperluaskan perusahaan sehingga mempunyai 35 petak bagi menternak dan menghasilkan antara 200 kilogram (kg) hingga 500 kg ketam lembut sebulan.

Menggunakan kaedah membiarkan ketam bebas dalam bakul tanpa bekalan oksigen, Suhaili berkata, ketam lembut daripada ketam bakau atau nipah melalui proses panjang antara 17 hingga 29 hari untuk menanggalkan cengkerang dan menjadi lembut selain perlu penjagaan rapi.

Katanya, risiko paling tinggi dihadapi penternak adalah pada musim el-nino iaitu antara Julai hingga September yang mendedahkan ketam kepada kematian susulan cuaca panas di permukaan laut.

“Selepas saja cengkerang tertanggal, ketam perlu dikutip dalam tempoh dua jam sebelum cengkerang baru menjadi keras dan terdedah kepada risiko dimakan oleh ketam lain dan ikan. Biasanya proses ini berlaku pada waktu malam atau awal pagi yang mana cuaca sejuk.

“Sangkar juga perlu sentiasa dibersihkan. Jika banyak lumut, ia melambatkan proses bersalin kulit. Sampah pula perlu sentiasa dibersihkan agar tidak menghalang oksigen masuk dalam sangkar,” katanya ketika ditemui selepas lawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub ke Projek Ternakan Ketam Lembut itu.

Menceritakan lebih lanjut, Suhaili berkata, bermula pada tahun 2017, beliau mendapat tajaan daripada Jabatan Perikanan menerusi program Penternak Ladang Akuakultur Contoh (PLAC) yang menyediakan bantuan enjin sangkut, bot, pondok terapung, kayu dan kursus.

Katanya, ketam lembut yang diternaknya ketika ini cuma untuk pasaran di sekitar daerah ini dengan tumpuan pasaran di restoran makanan laut.

“Syukur dengan bantuan rakan, keluarga dan Jabatan Perikanan, saya mampu memperoleh kejayaan seperti sekarang dan beri suntikan semangat terhadap peserta yang lain,” katanya.

Selain ketam lembut, Suhaili turut menternak pelbagai jenis ikan termasuk jenahak, kerapu, putih, udang lipan, kupang, selain mula melakukan kaedah menggemukkan ketam di bawah bimbingan Jabatan Perikanan sejak dua bulan lalu.

“Ia (kaedah menggemukkan ketam) masih dalam peringkat percubaan dan saya belum berani menerangkan bagaimana kaedah ini boleh berkesan. Sekarang saya ternak kira-kira 500 ekor ketam untuk projek itu,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *