8 bekas pemimpin Umno jadi kumpulan pertama ahli PPBM Sabah

Mahathir Mohamad mengadakan sidang media bersama 8 bekas pemimpin Umno Sabah di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.

PUTRAJAYA: Lapan wakil rakyat dan senator yang meninggalkan Umno Disember lalu diterima sebagai kumpulan pertama ahli PPBM Sabah, hari ini.

Mereka terdiri daripada 4 ahli Parlimen, iaitu Abdul Rahim Bakri (Kudat), Azizah Mohd Dun (Beaufort), Zakaria Edris (Libaran) dan Ronald Kiandee (Beluran).

Baki 4 lagi pemimpin ialah 2 adun, iaitu Hajiji Mohd Noor (Sulaman) dan Masidi Manjun (Karanaan) serta Abdul Ghani Mohamed Yassin (bekas ketua Umno Bahagian Pensiangan) dan John Ambrose (bekas ketua Umno Bahagian Penampang).

Pengerusi PPBM, Dr Mahathir Mohamad berkata, Yamani Hafez Musa yang merupakan ahli Parlimen Sipitang dan anak bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman belum menyertai PPBM.

“Kita akan pergi ke Sabah pada 6 April ini..Kita memberi tempat kepada Warisan, walaupun Warisan bukan ahli dalam Pakatan Harapan, kita beri tempat, kita terima anggota Warisan dalam kerajaan.

“Bersama-sama kita sokong kerajaan yang ditubuhkan Warisan di Sabah.

“KIta tidak ada niat menggantikan kerajaan Warisan di Sabah. Kita tidak ada niat nak ganti mana-mana pihak bila masuk Sabah nanti,” katanya selepas menyerahkan kad keahlian PPBM kepada 8 bekas pemimpin Umno itu di Yayasan Kepimpinan Perdana.

Dengan perkembangan terbaru ini, PPBM kini memiliki 26 ahli Parlimen dan Pakatan Harapan menguasai 129 kerusi di Dewan Rakyat

Pada 12 Februari lalu, PPBM menerima 6 bekas ahli Parlimen Umno, iaitu Hamzah Zainudin (Larut), Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor), Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

Sebelum itu, beberapa ahli Parlimen Umno turut diterima menyertai PPBM, iaitu Mustapa Mohamed (Jeli), Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah) dan Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai). – FMT

Mahathir Mohamad mengadakan sidang media bersama 8 bekas pemimpin Umno Sabah di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *