Pelancong cedera bas tergolek

Keadaan bas pelancong yang terbabas di Jalan Kota Belud – Kota Marudu berhampiran Kampung Kesapang, Kota Belud. – Foto Ihsan Pembaca

SERAMAI 16 penumpang warga China menempuh detik cemas apabila bas pelancong dinaiki mereka terbabas ke dalam parit di Jalan Kota Belud – Kota Marudu berhampiran Kampung Kesapang, Sabah, hari ini.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, seorang pelancong lelaki berusia 37 tahun parah, tiga lagi hanya cedera ringan manakala selebihnya termasuk pemandu tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah berkata, bas pelancong dipandu lelaki berusia 36 tahun membawa seorang jurupandu tempatan dan 16 pelancong China dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menghala Kampung Rampayan, Kota Belud.

“Sebaik tiba di lokasi, pemandu hilang kawalan lalu terbabas di bahu kiri jalan dan memasuki parit sebelum bas itu terbalik.

“Akibat kejadian itu, seorang penumpang parah manakala tiga lagi hanya cedera ringan dan dirawat di Hospital Kota Belud.

“Seramai 12 penumpang yang lain serta pemandu dan jurupandu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan kecuaian pemandu yang gagal mengawal kenderaan namun siasatan lanjut masih diteruskan.

“Semua penumpang adalah warga China yang berusia 27 tahun sehingga 49 tahun manakala jurupandu pelancong dan pemandu adalah warga tempatan.

“Hasil pemeriksaan juga, pemandu bas bebas alkohol manakala siasatan kes diteruskan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.- Harian Metro

Keadaan bas pelancong yang terbabas di Jalan Kota Belud – Kota Marudu berhampiran Kampung Kesapang, Kota Belud. – Foto Ihsan Pembaca
Keadaan bas pelancong yang terbabas di Jalan Kota Belud – Kota Marudu berhampiran Kampung Kesapang, Kota Belud. – Foto Ihsan Pembaca
Keadaan bas pelancong yang terbabas di Jalan Kota Belud – Kota Marudu berhampiran Kampung Kesapang, Kota Belud. – Foto Ihsan Pembaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *