Air mata Marsha

Bimbang mengingatkan Marsha pelbagai cabaran dihadapinya.

PENYANYI Marsha Milan, 34, mengakui tersentuh saat merakamkan lagu baru berjudul Bimbang kerana sangat dekat dengan kehidupannya sebagai mualaf.

Marsha yang menitiskan air mata saat ditemubual media berkata, lagu yang bakal menjadi OST drama bersiri Nur 2 itu mengingatkannya kepada pelbagai dugaan yang dilalui.

“Lagu Bimbang ini mengisahkan wanita yang hidup bermadu tetapi perspektif saya ia sesuatu yang berbeza.

“Saya banyak simpan apa yang saya rasa dalam hati. Jadi, bila lagu ini siap dirakam, timbul rasa sebak kerana setiap kata-katanya sangat dekat dengan diri saya terutama perubahan kehidupan saya sebelum dan selepas memeluk Islam,” katanya kepada Harian Metro.

Selain mengenang pengalaman berhijrah, Masha turut menjelaskan proses menghasilkan Bimbang sangat mencabar.

“Bimbang lagu ciptaan Farouk Roman manakala liriknya ditulis kawan baik saya, Amylea Azizan.

“Proses penghasilannya sangat mencabar khususnya soal kos memandangkan saya bergerak sendiri bersama pengurus,” katanya.

Marsha turut memaklumkan ada mencurahkan idea dan bekerja keras untuk penghasilan lagu baru itu.

“Sebelum ini, ada juga saya ambil tahu lagu-lagu yang dihasilkan untuk saya. Cuma, kali ini rasanya berbeza kerana saya curahkan hampir keseluruhan komitmen.

“Saya harap, Bimbang akan diterima baik terutamanya pengikut setia drama Nur 2,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *