PPM Kudat tahan lelaki bawa bot enjin pam secara haram

Bot yang digunakan suspek ditahan pihak berkuasa. – Gambar Pasukan Polis Marin W4 Sabah

KUDAT: Sebuah bot enjin pam yang dikendalikan seorang lelaki warga Filipina dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Kudat dalam operasi di perairan Batu Putih dekat sini.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, suspek berumur 37 tahun itu ditahan kira-kira jam 9 malam Ahad.

Menurutnya, suspek turut gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri atau pas yang sah dan tidak memiliki lesen mengendalikan bot enjin pam yang sah.

“Lelaki berkenaan ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan tidak memiliki dokumen dan Seksyen 474(1) MSO 1960 atas kesalahan beroperasi tanpa lesen bot yang sah.

“Turut dirampas sebuah bot, satu unit enjin pam 13hp milik lelaki berkenaan. Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM2,100 dan kesemua rampasan dibawa ke Pangkalan PPM Kudat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Mohamad Pajeri turut meminta orang ramai supaya sentiasa menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah di laut bagi memerangi jenayah rentas sempadan termasuk kemasukan pendatang tanpa izin (PTI) ke perairan Sabah.

Pada masa sama, katanya, tindakan berkenaan dapat mengurangkan kadar jenayah khususnya di negeri Sabah.

“PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa berusaha dengan serius untuk membanteras kegiatan jenayah di laut bagi memelihara keselamatan dan keamanan di negeri ini sama ada secara sendiri atau menjalankan Operasi Bersepadu bersama agensi keselamatan yang lain.

“Masyarakat maritim khususnya turut diingatkan pentingnya keperluan memakai jaket keselamatan terutama semasa menaiki bot, kapal atau feri.

“Perkara ini bukan sahaja sebagai memenuhi undang-undang sedia ada tetapi lebih kepada keperluan keselamatan individu itu sendiri,” jelasnya.

Beliau berkata, kejadian bot karam yang berlaku di perairan Sandakan baru-baru ini perlu dijadikan pengajaran akibat tidak mematuhi peraturan-peraturan di laut. – Utusan Borneo

SUSPEK lelaki warga Filipina ditahan selepas didapati tidak memiliki dokumen yang sah. – Gambar Pasukan Polis Marin W4 Sabah
Enjin bot berkenaan. – Gambar Pasukan Polis Marin W4 Sabah
SUSPEK lelaki warga Filipina ditahan selepas didapati tidak memiliki dokumen yang sah. – Gambar Pasukan Polis Marin W4 Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *