Bung Moktar alu-alukan kemasukan BERSATU ke Sabah

KOTA KINABALU: Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin percaya ahli parti berkenaan di negeri ini tidak akan meninggalkan UMNO susulan kemasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Beliau juga menyifatkan keputusan BERSATU melebarkan sayapnya ke Sabah seperti diumumkan Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam, bukan ancaman besar.

“Selepas penghijrahan (keluar) beramai-ramai pemimpin UMNO Sabah sebelum ini, kita telah menyusun semula parti. 

“Saya percaya ahli dan pemimpin yang ada dalam UMNO Sabah sekarang adalah mereka yang benar-benar berjuang dan membela nasib rakyat.

“Justeru, kehadiran BERSATU bukan ancaman besar kepada kita, malah kehadiran parti itu ke Sabah dialu-alukan,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Ditanya sama ada UMNO Sabah akan bekerjasama dengan BERSATU, Bung Moktar berkata, buat masa ini UMNO mahu memperkukuhkan parti itu di negeri ini.

“Bagaimanapun, dalam politik kita tidak boleh ramal apa akan berlaku, kita tidak tahu apa akan berlaku pada masa hadapan. Apa yang penting, UMNO Sabah akan dimantapkan di negeri ini,” katanya. – Berita Harian

226