Stor penyimpanan alat pemprosesan ayam terbakar

ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran stor penyimpanan alat pemprosesan daging ayam di Kampung Tambalugu, Tamparuli. – Foto ihsan bomba

TUARAN: Sebuah stor penyimpanan alat pemprosesan daging ayam di Kampung Tambalugu, Tamparuli, di sini, musnah terbakar awal pagi tadi.

Bagaimanapun dalam kejadian jam 12.50 tengah malam itu, ratusan ayam ternakan yang ditempatkan bersebelahan stor berkenaan dapat diselamatkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.58 tengah malam sebelum mengerahkan dua jentera bersama 12 anggota ke lokasi kejadian.

Katanya sebaik tiba, pihaknya mendapati stor itu sudah terbakar sepenuhnya dan operasi memadam segera dijalankan.

“Stor berkenaan menyimpan alat-alat untuk memproses daging ayam dan ketika kejadian tiada pekerja ataupun pemilik di dalam premis berkenaan.

“Bomba dapat mengawal api daripada merebak ke kilang bersebelahan yang hanya sejauh kira-kira lima meter,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Qawie berkata, Jabatan Forensik JBPM masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran dan anggaran kerugian dalam kejadian itu. – Berita Harian