Bersatu ke Sabah: UPKO serah kepada pimpinan negeri

Datuk Ewon Benedick – Gambar Facebook Datuk Ewon Benedick

KOTA BELUD, 16 Feb -Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) menyerahkan kepada pucuk pimpinan negeri yang diterajui Parti Warisan Sabah (Warisan) berhubung isu kemasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke negeri itu.

Naib Presidennya Datuk Ewon Benedick berkata antara yang perlu diteliti pucuk pimpinan negeri ialah sama ada kemasukan Bersatu itu adalah atas permintaan orang Sabah atau kehendak parti itu sendiri.

“Dahulu UMNO masuk (Sabah) bukan kerana parti itu mahu tetapi orang di sini yang mahu parti tersebut ke Sabah,” kata Ewon yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah kepada pemberita bersempena lawatan kerjanya ke daerah ini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar persekutuan R. Sivarasa.

Ewon bagaimanapun menegaskan pendiriannya bahawa Sabah harus diterajui oleh parti tempatan. 

Sementara itu,  Sivarasa yang juga wakil rakyat PKR, menyokong pendirian Ewon bahawa negeri Sabah harus diterajui parti tempatan.

Beliau juga yakin perkara tersebut dapat diselesaikan secara baik.

Semalam, Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata parti itu bersetuju untuk menubuhkan cawangannya di Sabah bagi membolehkan bekas anggota UMNO Sabah menyertainya.

Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri, berkata keputusan itu dibuat selepas anggota UMNO Sabah yang bertindak keluar parti tidak mahu menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) yang merupakan sekutu Pakatan Harapan (PH). 

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *