Ronnie Tambat Hati Juri Asia’s Got Talent

KOTA KINABALU: Membuat persembahan mantap di pentas pertandingan bakat terbesar Asia’s Got Talent bukan sesuatu yang mudah.

Bagi penyanyi berasal dari Sandakan, Ronnie Ismail, 29 dia bukan sahaja mempunyai bakat tetapi menunjukkan keyakinan tinggi sehingga mampu menambat hati para juri profesional program popular musim ketiga ini.

Ronnie ketika berada di belakang pentas sebelum membuat persembahan pada sesi ujibakat juri Asia’s Got Talent. Gambar SNT/ Ehsan Ronnie Jupiter

“Alhamdulillah … semua ini bagaikan mimpi. Diri sendiri terkejut ketiga-tiga juri profesional menerima bakat nyanyian saya ketika itu.

“Saya mendapat tiga ‘Yes’ daripada mereka namun masih menunggu samaada bakal meneruskan pertandingan ke peringkat seterusnya atau tidak,” kata Ronnie.

Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata sebelum terpilih ke ujibakat juri, dia terlebih dahulu menghadirkan diri ke ujibakat terbuka setelah diberitahu oleh seorang kawan mengenainya di Universiti Taylor Kuala Lumpur sekitar bulan Julai tahun lalu.

“Dengan persediaan singkat, saya terus sertainya dan dua bulan kemudian barulah dihubungi berkaitan kelayakan pergi ke ujibakat di hadapan juri profesional terdiri daripada  Anggun, David Foster dan Jay Park,” katanya.

Ronnie memilih lagu If I Ain’t Got You nyanyian Alicia Keys untuk dipersembahkan di hadapan mereka.

Mengenai video ujibakatnya yang tular di laman sosial, jejaka berketurunan campuran Suluk dan Filipina itu berkata dia sendiri terkejut serta tidak menyangka video terbabit tular sehingga dihujani banyak ucapan tahniah di akuan laman sosial Facebook dan Instagram milikinya.

“Mungkin ekoran saya menyebut berasal daripada Sabah, Malaysia ketika sebelum membuat persembahan mengakibatkan ramai orang terkejut serta teruja ada peserta daripada negara ini yang turut bertanding.

“Saya hanya berfikir tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini kerana ia mungkin datang sekali seumur hidup selain mungkin penyertaan itu boleh mengharumkan nama negara ke peringkat tertinggi,” katanya.

Sejak dari bangku sekolah lagi, Ronnie mula mempamerkan bakat dalam bidang nyanyian namun hanya mula serius apabila memasuki alam pengajian kolej di Universiti Lim Kok Wing.

“Saya banyak membuat persembahan pentas sepanjang bergelar pelajar dan ia secara tidak langsung memberikan banyak pendedahan dan membina keberanian diri apabila berhadapan dengan khalayak ramai,” katanya.

“Kini, saya lebih banyak membuat ‘freelance’ membabitkan nyanyian, tarian, lakonan dan penghasilan lagu,” kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Filem Digital dan Televisyen.-SabahNews Today

Berita Asal : https://www.sabahnewstoday.com/ronnie-tambat-hati-juri-asias-got-talent/