Tangguh lantikan ketua kampung dari suku Bugis, Jawa, dapat perhatian

Gambar Media Sosial

TAWAU, 4 Feb – Penangguhan pelantikan ketua kampung dalam kalangan suku Bugis dan Jawa di negeri ini ekoran bukan berada dalam senarai Anak Negeri, mendapat perhatian Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Muktar.

Kata Aidi, ketika ini pelantikan calon berkenaan hanya dapat dilakukan sehingga mereka memperoleh status anak negeri daripada Mahkamah Anak Negeri.

“Saya mengambil perhatian kepada permasalahan ini dan jalan penyelesaiannya serta perlu penelitian cermat, sebelum dapat mencadangkan kepada Kerajaan Negeri termasuk mengkaji ordinan tafsiran (definisi anak negeri).

“Kajian ini termasuk mengkaji surat yang dikeluarkan pada era kerajaan Berjaya  tahun 1982 yang membekukan semua proses pemberian sijil Anak Negeri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Aidi berkata, pembekuan itu masih berkuatkuasa sehingga kini dan berikutan itu menjadi tanggungjawab kerajaan hari ini sama ada untuk mengkaji, meneliti dan keperluan pendirian kerajaan berhubung surat itu kerana pembekuannya seolah-olah menghalang serta nenafikan hak Bumiputera yang layak untuk memohon dan mendapatkan sijil anak negeri.

“Kerajaan boleh terima kaum Bugis dan Jawa jadi wakil rakyat dan kalau ini boleh diterima semua kaum di Sabah, kenapa kita mahu mempertikaikan suku kaum ini untuk dilantik jadi ketua kampung,” katanya dan berpendapat perkara itu perlu ditangani kerajaan.

Menurut Aidi lagi jika merujuk kepada subseksyen 2(d) di dalam ordinan itu jelas dinyatakan bahawa mana-mana orang yang lazim bermastautin di Sabah yang merupakan ahli masyarakat asli kepada Republik Indonesia, boleh diiktiraf sebagai Anak Negeri Sabah tetapi hanya setelah mendapatkan Sijil Anak Negeri yang dikeluarkan oleh Mahkamah Anak Negeri seperti yang dinyatakan di bawah subseksyen 2(3) Ordinan berkenaan.

Dalam pada itu, Aidi menjamin cadangan kajian itu tidak sama sekali bertujuan untuk mengiktiraf suku kaum Bugis, Jawa dan Banjar sebagai Anak Negeri secara keseluruhan.

Sementara itu, beliau menyangkal laporan berita sebelum ini berhubung Kerajaan Negeri akan meneliti ordinan tafsiran bagi mengiktiraf suku kaum Bugis dan Jawa sebagai anak negeri.

Sebaliknya, hanya mahu membawa isu pelantikan suku kaum Bugis dan Jawa kepada Kerajaan Negeri  dan diteliti supaya pelantikan ketua-ketua adat memberi keutamaan kepada Anak Negeri Sabah serta  Bumiputera, katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *