Lima militan Abu Sayyaf serah diri

Tentera Filipina masuk ke dalam gereja selepas serangan bom di Jolo, Selatan Filipina. – FOTO Reuters

MANILA: Seorang pegawai kanan Abu Sayyaf dan empat anggota kumpulan militan yang dipercayai menjadi dalang di sebalik pengeboman sebuah gereja di selatan Filipina, menyerah diri kepada pihak berkuasa semalam, kata ketua polis negara itu hari ini.

Pihak berkuasa percaya, Kammah Pae yang membantu pasangan Indonesia dalam satu serangan bunuh diri pada 27 Januari lalu, menyerah diri kepada tentera kerajaan, kata Oscar Albayalde.

“Dia terpaksa menyerah diri mungkin kerana tidak mahu mati ketika serangan tentera,” kata Albayalde pada satu taklimat media.

Sabtu lalu, tentera Filipina membunuh tiga suspek militan Abu Sayyaf dalam pertempuran di Patikul, sebuah bandar di wilayah Sulu dalam operasi yang menyasarkan mereka yang terbabit dalam serangan gereja.

Lima anggota tentera terkorban dalam operasi itu.

Albayalde berkata Kammah menafikan pembabitannya dalam pengeboman berkembar di Jolo yang membunuh 23 orang termasuk orang awam dan tentera.

Namun saksi mendakwa melihat dia mengiringi pasangan Indonesia terbabit.

Lima suspek terbabit antara lain akan berdepan pelbagai dakwaan pembunuhan, kata Albayalde. – Reuters

Suspek dalang di sebalik pengeboman sebuah gereja di selatan Filipina, Kammah Pae. – Foto Yahoo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *