Jelius kecewa prestasi longlai anak buah

Jelius Ating

PENGENDALI Sabah, Jelius Ating kecewa dengan sikap anak buahnya yang tidak bersungguh-sungguh memenangi perlawanan sehingga menyaksikan mereka kecundang 1-2 kepada Johor Darul Ta’zim II (JDTII) di Stadium Likas, semalam.

Katanya, mereka memulakan permainan dengan baik sehingga berjaya mendahului lawan namun prestasi turun secara mendadak di babak kedua.

“Kami menguasai permainan di separuh masa pertama sehingga JDTII langsung tidak memiliki ruang dan peluang dan berjaya menghasilkan gol.

“Bagaimanapun, semuanya berubah di separuh masa kedua. Pemain tidak mampu mempertahankan kedudukan dan melepaskan beberapa peluang. Ini semua kerana sikap dan akhirnya pihak lawan menang perlawanan ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelius berkata, pemain perlu segera mengubah sikap sekiranya tidak mahu terus kecewa pada aksi seterusnya.

“Memang agak kecewa, namun saya terima kekalahan dan kini perlu memandang ke hadapan serta melakukan sesuatu supaya mampu bangkit pada perlawanan akan datang,” katanya.

Aksi semalam menyaksikan skuad Tambadau mendahului hasil jaringan pemain import baharu mereka, Luka Milunovic pada minit ke-13.

Bagaimanapun, JDTII berjaya meledak dua gol di separuh masa kedua hasil tandukan Mohamad Ghaddar pada minit ke-62 dan sepakan percuma Rozaimi Abd Rahman pada minit ke-83.

200