Cadangan iktiraf masyarakat Jawa, Bugis perlu diteliti

Mohd Shafie bersama orang ramai ketika meluangkan masa melakukan tinjauan mesra sempena Tahun Baharu Cina di Segama malam ini. – Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan melihat pelbagai aspek, termasuk dari segi undang-undang, mengenai cadangan untuk masyarakat Jawa dan Bugis diiktiraf sebagai anak negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata perkara itu perlu diteliti agar tidak menjadi pertikaian tanpa mengetepikan suku kaum yang ada di Sabah.

“Di samping itu, kita juga akan melihat kedudukan kampung yang ada, seperti masyarakat Tionghoa yang mempunyai kapitan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program tinjauan mesra di Segama sempena sambutan Tahun Baharu Cina, di sini, malam ini.

Mohd Shafie berkata, kesesuaian itu perlu dilihat untuk mewakili sesuatu kaum di sesebuah kawasan, namun bagaimana ia dilaksana perlu berlandaskan perundangan sedia ada.

Baru-baru ini, Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Aidi Moktar dikecam selepas mencadangkan masyarakat Jawa dan Bugis di negeri ini diiktiraf sebagai anak negeri.

Sementara itu, mengenai program berkenaan pula, sebanyak 700 gerai jualan dan 20 trak makanan beroperasi di sekitar Segama bermula jam 3.30 petang hingga 2 pagi Isnin.

Selain itu, gerai jualan dibuka di lokasi lain di Lido, Penampang; Metro Town, Inanam; dan Foh Sang, Luyang. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *