RON97, RON95 turun 5 sen

PUTRAJAYA: Harga runcit bahan api bagi petrol RON97 dan RON95 masing-masing turun lima sen kepada RM2.23 seliter dan RM1.93 seliter, manakala diesel kekal pada harga RM2.18 seliter mulai tengah malam ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata harga runcit bahan itu ditetapkan bagi tempoh 2 hingga 8 Februari ini.

Beliau berkata, penurunan harga runcit bagi produk petrol RON95 berikutan penurunan harga produk petroleum yang diproses di pasaran dunia didorong oleh faktor peningkatan pengeluaran produk petrol di pasaran global.

“Perbezaan kos produk lebih tinggi bagi diesel berbanding petrol disebabkan peningkatan permintaan bagi produk diesel, terutama dari China dan peningkatan pengeluaran produk petrol di pasaran global.

“Kerajaan akan terus komited melaksanakan dasar penstabilan harga runcit produk petroleum dan pada masa sama, melaksanakan penetapan harga yang memanfaatkan rakyat.

“Ini bermakna apabila harga petroleum di pasaran dunia turun, harga runcit produk petroleum juga akan diturunkan bagi membolehkan pengguna menikmati manfaat penurunan harga minyak dengan segera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, jika harga pasaran produk melebihi paras harga ditetapkan, kerajaan akan menstabilkan harga jualan runcit bagi produk petrol RON95 dan diesel dengan mengekalkan harga jualan runcit masing-masing pada paras RM2.20 seliter dan RM2.18 seliter.

Bagi tempoh 26 Januari hingga 1 Februari lalu, harga runcit bahan api bagi petrol RON97 dan RON95 masing-masing kekal RM2.28 seliter dan RM1.98 seliter, manakala diesel naik satu sen kepada RM2.18 seliter. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *