6 bulan tiada kompaun merokok dalam restoran

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Stephen Wong

SANDAKAN: Sabah mengambil langkah sama seperti Kerajaan Persekutuan apabila tidak mengeluarkan kompaun dalam tempoh enam bulan pertama penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan yang mula dikuatkuasakan di negeri ini, hari ini.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Stephen Wong Tien Fatt, berkata untuk tempoh berkenaan penguat kuasa atau pegawai yang membuat pemeriksaan cuma memberi nasihat dan notis amaran kepada mereka yang ditangkap merokok di premis makanan.

Dalam tempoh itu juga, katanya, kementerian akan mengkaji cara memperkukuh penguatkuasaan supaya lebih berkesan dan mencapai sasaran dalam mewujudkan persekitaran lebih sihat kepada penduduk.

“Selepas enam bulan, kita tidak akan berkompromi terhadap mereka yang merokok di premis makanan dan sesiapa yang ditangkap oleh penguat kuasa, akan dikenakan denda.

“Justeru, kita harap bermula hari ini (semalam), semua memberi kerjasama (walaupun belum dikenakan denda) dan apabila sudah biasa, (saya yakin) tiada lagi yang melakukan kesalahan,” katanya selepas menyempurnakan Pesta Angpau di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Sung Siew di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut, Wong yang juga Ahli Parlimen Sandakan berkata, beliau berharap rakyat negeri ini tidak menjadikan larangan merokok sebagai isu kerana undang-undang baharu itu tidak membabitkan semua tempat awam, sebaliknya cuma di premis makan.

“Ramai yang masih tak faham dan anggap larangan kerajaan ini di semua tempat, tetapi sebenarnya cuma di premis makanan,” katanya.

Wong juga memuji langkah segelintir pengusaha restoran yang bukan saja menampal pelekat arahan larangan merokok di dinding, malah menampalnya di setiap meja makan dalam premis sekali gus meningkatkan lagi kesedaran orang ramai terhadap peraturan itu.

“Ia adalah tindakan baik, kreatif dan inovatif daripada pengusaha restoran,” katanya.

Bermula 1 Januari lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menguatkuasakan peraturan larangan merokok di premis makanan di seluruh negara, namun Sabah dan Sarawak belum mengikutinya kerana perlu diselaraskan dengan undang-undang negeri.

Di Semenanjung, mereka yang didapati merokok di premis makanan tidak akan disaman dalam tempoh enam bulan sejak 1 Januari lalu, sebaliknya dikenakan amaran bagi tujuan mendidik. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *