Mati beku tidak mampu bayar tambang bas RM3.70

Iryna Dvoretska

Kiev: Seorang wanita mati kesejukan selepas dihalau keluar dari bas di satu kawasan terpencil dengan suhu negatif 20 darjah Celsius hanya kerana dia tidak mempunyai wang untuk membayar tambang 25 Hverna (RM3.70).

Mail Online melaporkan, Iryna Dvoretska, 21, pelajar perubatan, menaiki bas untuk melawat ibunya yang sakit di sebuah hospital di Olevsk, utara Ukraine.

Bagaimanapun, pemandu bas berkenaan dikenali sebagai Oleg Zhelinskiy mengarahkan wanita itu turun pada jam 4 pagi selepas dia tidak mempunyai wang untuk membayar tambang.

Selepas turun dari bas, Iryna berjalan seorang diri di kawasan perkampungan yang sunyi dan sejuk sebelum mengambil jalan pintas dengan melalui kawasan hutan.

Wanita itu dipercayai tersesat ketika di dalam hutan dan terjatuh di dalam longkang di mana mayatnya ditemui sudah beku.

Bapa Iryna yang juga seorang renjer hutan menemui mayat anaknya itu dalam keadaan beku selepas mangsa hilang selama dua hari.

Kakak Iryna yang dikenali sebagai Natalia berkata, ibunya dirawat di hospital akibat jangkitan kuman di paru-paru dan keadaannya semakin teruk.

“Iryna mengambil bas paling awal ke Olevsk. Dalam keadaan tergesa-gesa Iryna tertinggal beg duitnya,” katanya.

Ibu saudara mangsa, Nadiya Typchuk memberitahu, ketika ditemui, mata Iryna dalam keadaan terbeliak seperti dia takutkan sesuatu.

Sementara itu jurucakap polis, Alla Vashchenko berkata, bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat hipotermia dan organ dalamannya juga di dapati beku.

“Kami membuka kertas siasatan jenayah terhadap pemandu bas itu dan dia berdepan hukuman penjara lima tahun sekiranya didapati bersalah,” katanya. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *