Semut hitam selamat gadis jadi mangsa rogol

Jakarta: Takdir nyata memihak kepada seorang remaja perempuan apabila terselamat daripada serangan seksual dahsyat selepas penyerangnya digigit semut hitam ketika cuba merogolnya.

Gadis berusia 16 tahun itu dihampiri suspek, Toni Irawan, 29, yang mengajaknya bersiar-siar menaiki kereta di sekitar Sukamaju di Sulawesi Selatan.

Toni beberapa kali mengajak gadis itu mengadakan seks namun mangsa menolak, malah cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap suspek yang membawanya semula ke kereta.

Suspek kemudian menghentikan kereta dengan alasan mahu mencucinya sebelum mengheret mangsa dalam belukar dan cuba membaringkannya atas tanah, lapor Tribun News.

“Namun pada saat itu mangsa dan suspek masing-masing digigit semut hitam seterusnya memberikan gadis itu peluang melarikan diri ke rumah penduduk berhampiran untuk mendapat bantuan,” kata ketua polis Sukamaju, Alimin Pammu.

Menurutnya, Toni sudah ditahan dan siasatan masih diteruskan. Dia berdepan hukuman penjara tiga hingga 15 tahun jika sabit kesalahan. – Agensi

269