Bakal Teroka Industri Pelancongan Islam: Christina Liew

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar , Datuk Christina Liew pada sidang media di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berminat untuk meneroka industri pelancongan muslim bagi memberikan kemudahan dan pilihan kepada pelancong Islam luar negara semasa melawat ke negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina LIew berkata sehubungan itu pihaknya mahu mengkaji perkara tersebut termasuk dengan memperkenalkan pakej-pakej menarik kepada pelancong Islam.

“Ia sesuatu yang menarik dan kita telah melihat kepentingannya kepada pelancong beragama Islam seluruh dunia.

“China sudah pun memperkenalkan industri pelancong muslim di negara republik itu kerana mereka tahu ramai pengunjung ke negara itu adalah beragama Islam. Strategi itu amat berkesan,” katanya pada sidang media selepas majlis Makan Tengah Hari Bersama Pengamal Media di sini hari ini.

Majlis anjuran kementerian itu dihadiri wakil-wakil agensi media cetak, elektrorik dan portal di Sabah yang turut diadakan sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Terdahulu dalam ucapannya, Christina berkata kerajaan negeri amat menghargai kerjasama pengamal media di negeri ini dalam membantu kerajaan daripada segi liputan berita secara meluas dan bermanfaat kepada rakyat.

Menurutnya, media memainkan peranan penting dalam menyebarkan informasi berguna kepada rakyat temrasuk mengenai dasar-dasar kerajaan.

Dalam perkembangan lain, Christina menafikan bahawa sebuah taman buaya di Lok Kawi yang dikatakan membuat pertunjukkan berbahaya kepada pengunjung adalah di bawah pengurusan Jabatan Hidupan LIar Sabah (JHLS).

Kata beliau yang juga Menteri Kebudayaan, Pelancongan dan Alam Sekitar Negeri, taman itu adalah milik sebuah syarikat swasta.

“Ia tidak ada kena mengena dengan Jabatan Hidupan Liar seperti yang diperkatakan.

“Bagaimanapun saya ingin nasihatkan kepada pengendalikan persembahan di taman itu supaya berhati-hati dan mengutamakan keselamatan mereka terutama pengunjung,” katanya.

Sumber – SabahNewsToday
Artikel asal : https://www.sabahnewstoday.com/bakal-teroka-industri-pelancongan-islam-christina-liew/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *