Kejamnya Ibu

Khadiza dan Suleiman dicekik hingga mati dan mayat mereka dibakar oleh ibu. – Daily Mail

MOSCOW: Seorang ibu mendakwa tidak mampu menyara dua anaknya hingga mendorongnya membunuh kanak-kanak berusia dua dan empat tahun itu sebelum membakar mayat mereka dalam kejadian di Russia pada April tahun lalu.

Bagaimanapun, gaya hidup wanita terbabit, Elena Karimova, 27, tidak seperti didakwanya apabila dikatakan membelanjakan sekitar 470 paun (RM2,501) untuk kereta sewa selain mampu melancong ke luar negara.

Elena yang hidup glamor dengan 27,000 pengikut Instagram untuk perniagaan kosmetiknya, mencekik mati anaknya di tempat duduk belakang kereta sewanya dengan rakaman kamera litar tertutup menunjukkan detik akhirnya membeli coklat untuk kanak-kanak berkenaan didedahkan pihak berkuasa, semalam.

Ketika disoal siasat, Elena memberitahu polis, dia menghadapi masalah kewangan yang menyebabkannya melakukan perbuatan kejam itu.

“Saya tidak mampu menyara mereka. Saya kesal dengan apa yang berlaku. Saya tinggal suami sebelum kami bercerai dan menyukarkan lagi saya untuk membesarkan anak,” katanya.

Menurut pihak berkuasa, Elena dipercayai mencekik mati anak lelakinya, Suleiman, 2, dan anak perempuan, Khadizha, 4, hingga mati di dalam kereta sewa sebelum membakar mayat mereka di kawasan hutan di Nizhny Novgorod.

Bagaimanapun, penyiasat berkata, dia menyimbah air untuk memadamkan api selepas bimbang orang ramai melihat asap dihasilkan. Dia kemudian mengambil semula mayat rentung itu dan meninggalkannya semalaman dalam kereta sebelum membawanya pula ke sebuah bangunan pada keesokannya.

Bangunan berkenaan turut dibakar, dan mayat ditemui bomba yang memadamkan api.

Elena ditahan kira-kira sembilan bulan lalu atas tuduhan bunuh dan kes terbabit akan dibicarakan di mahkamah tidak lama lagi.

Jawatankuasa Siasatan Russia berkata, individu yang menyewakan kereta itu kepada wanita terbabit menyerahkan bukti kepada polis bagi membolehkan kes dibawa ke mahkamah. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *