Nasib si piatu

Saroj terpaksa mengangkut mayat ibunya menaiki basikal. – Foto News Lions

New Delhi: Seorang remaja terpaksa berjalan kaki sejauh lima kilometer dengan membawa mayat ibunya di atas basikal untuk dikebumikan di tempat lain kerana jiran enggan membantu disebabkan keluarganya daripada kasta rendah.

Satu rakaman menyayat hati menunjukkan remaja terbabit, Saroj, 17, berjalan kaki di Odisha, India dengan mayat ibunya, Janki, 45, yang dibawa untuk dikebumikan di kawasan hutan.

Dia yang kematian bapa sejak berusia tujuh tahun terpaksa menggali sendiri kubur untuk ibunya tanpa bantuan sesiapa.

Mirror Online melaporkan, dia sebelum itu sempat meminta pertolongan jirannya di Karlabahali selepas ibunya pengsan dan meninggal dunia ketika berjalan untuk mengambil air.

Dia meminta bantuan mereka untuk membakar mayat ibunya namun tidak diendahkan semata-mata dia berasal daripada keluarga kasta rendah.

SAROJ tidak diendahkan jiran kerana keluarganya kasta rendah. FOTO News Lions

Menerusi rakaman itu, dia ditanya seorang lelaki apa yang dibawanya di atas basikal.

Dengan nada sedih, remaja itu menjawab: “Ini ibu saya.”

Sementara itu, India Today melaporkan, Janki berkahwin dengan seorang lelaki berasal dari daerah Sundergarh 10 tahun lalu.

Selepas suaminya meninggal dunia, dia hidup bersama seorang anak lelaki dan perempuan di kampung terbabit.

Sistem kasta di India yang dipercayai berusia lebih 3,000 tahun masih diamalkan secara meluas di kawasan terpencil biarpun perlembagaan India mengharamkan diskriminasi berdasarkan kasta sejak 1950. – Agensi