Rumah perlindungan mangsa gempa bumi

Foto replika rumah perlindungan ketika gempa bumi. – Foto E-mel

TURKI : Pengasas studio seni bina SO? iaiti Sevince Bayrak dan Oral Goktas, mencipta rumah terapung prototaip di Golden Horn Istanbul, Turki sebagai rumah perlindungan ketika gempa bumi.

Prototaip dinamakan Fold and Float yang mampu memuatkan sehingga enam orang itu tampil sebagai inovasi yang turut diketengahkan dalam pameran Istanbul Design Biennial 2018, baru-baru ini.

Menurut kedua-dua pengasas, prototaip berkenaan dihasilkan sebagai langkah menangani isu Istanbul yang menghadapi krisis kekurangan ruang penempatan sebaik berlakunya kecemasan atau bencana.

Pada awalnya terdapat 477 ruang terbuka di Istanbul ditetapkan sebagai titik perhimpunan berikutan gempa bumi berskala 7.4 magnitud pada 1999 yang mengorbankan 14,000 mangsa di Turki.

Namun sebahagian besar ruang itu sudah dibangunkan dan kini hanya berbaki 97 ruang masih tidak terusik.

Dengan isu kekurangan tanah dan ruang, idea yang terhasil ialah membina struktur secara terapung.

Prototaip itu terdiri daripada ‘tiub’ terapung yang dihasilkan menggunakan material konkrit dilengkapi struktur kayu mudah dilipat.

Struktur terbabit berfungsi sebagai tempat perlindungan dan mengandungi perabot tetap.

‘Fold and Float’ berbentuk segi tiga boleh mengubah suai dari satu kepada dua tingkat dengan pelantar mudah alih. Ruang di tingkat bawah merangkumi keperluan seperti dapur kecil dan ruang santai, sementara kawasan tidur pula di tingkat atas.

Setiap hujung rumah mempunyai ketinggian penuh sementara pintu boleh dibuka sepenuhnya untuk membolehkan cahaya dan udara keluar masuk ke dalam struktur berkenaan.

Berdasarkan kajian studio dalam projek terbabit turut mendapati biasanya mangsa gempa bumi mendiami pusat perlindungan sementara selama setahun selepas bencana.

Dengan Fold and Float, ia sesuai dibina apatah lagi lokasi seperti Golden Horn dilindungi daripada tsunami selain memiliki akses ke laut yang strategik sebagai laluan alternatif penting untuk makanan dan bantuan.

Secara keseluruhan studio SO? menganggarkan sehingga 180,000 struktur boleh diletakkan di atas perairan. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *