Lawan sampai mati

Singa mengigit leher buaya untuk menghentikan pernafasannya. – Instagram Mike Sutherland

Cape Town: Seorang jurugambar merakamkan detik-detik seekor singa betina membunuh dan memakan seekor buaya dengan menggigit kepala reptilia sepanjang 1.52 meter itu di sebuah taman perlindungan haiwan di Afrika Selatan.

Mike Sutherland merakamkan aksi luar biasa itu ketika membawa beberapa tetamu di Rizab Safari Sabi di barat Taman Negara Kruger di Afrika Selatan.

Sutherland memuat naik gambar berkenaan di Instagram miliknya pada 27 Disember lalu.

Jurugambar berusia 31 tahun itu berkata, ketika membawa tetamu melawat taman itu dia terjumpa satu jejak singa.

“Sudah menjadi kebiasaan di taman persendirian di Afrika Selatan seorang jurupandu berjalan kaki untuk mengesan haiwan sebelum menaiki semula kenderaan.

“Saya bersama seorang penjejak berjalan kaki untuk mencari singa. Selepas setengah jam berjalan kami terdengar bunyi seperti singa bergaduh di satu kawasan sungai,” katanya.

Menurutnya, dia tahu singa berada di kawasan itu dan terus berlari ke kenderaannya untuk membawa pelawat melihat haiwan berkenaan.

“Apabila kami menemui singa betina itu dengan jelas kami melihat ia baru sahaja membunuh buaya berkenaan.

“Singa itu menggigit leher buaya berkenaan untuk menghentikan pernafasannya.

“Beberapa singa lain mencakar kulit buaya itu yang keras, ada yang menggigit ekor dan sebahagian lagi hanya mengelilingi haiwan berkenaan, mungkin pelik melihat hasil buruan mereka,” jelasnya.

Sutherland percaya buaya itu mungkin sepanjang 1.52 meter dan seberat hampir 100 kilogram.

Singa yang membunuh buaya itu pula adalah singa betina dewasa dengan berat dianggarkan 150 kilogram.

“Kepala buaya itu lebih besar daripada kepala singa berkenaan. Sukar melihat saiznya untuk dibandingkan,” jelasnya. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *