Terpulang jika UMNO mahu saman – Azizah Dun

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun yang keluar UMNO bersama empat lagi Ahli Parlimen dari Sabah baru-baru ini, menyifatkan tindakan parti itu untuk menyaman mereka kerana meninggalkan UMNO sebagai hak parti terbabit.

Azizah berkata, terpulang kepada UMNO untuk mengambil tindakan itu, namun aspek perundangan juga perlu diambil kira sama ada ia boleh dilakukan atau sebaliknya.

“Bagi saya, tiada masalah jika UMNO mengambil tindakan itu, tetapi setakat ini saya tidak menerima apa-apa (writ) saman daripada UMNO,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau yang kini menjadi wakil rakyat Bebas berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau ada menerima saman daripada UMNO selepas laporan mengatakan parti itu sudah mengeluarkan writ saman terhadap bekas pemimpin parti itu di Semenanjung.

Azizah yang pernah menjadi Timbalan Ketua Wanita dan ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO meninggalkan parti itu pada 12 Disember lalu bersama empat lagi Ahli Parlimen UMNO lain dari Sabah, selain sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Empat lagi Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat), Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran), Datuk Zakaria Edris (Libaran) dan Yamani Hafez Musa (Sipitang).

Selain mereka, bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang juga Ahli Parlimen Kimanis lebih awal meninggalkan UMNO iaitu pada 19 September lalu dan beliau dilaporkan mahu menubuhkan parti baharu berasaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menyatakan dua bekas Ahli Parlimen UMNO, iaitu Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali sudah diberikan writ saman. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *