Konflik gajah di Telupid berkurangan

ANGGOTA JHL Sandakan melakukan translokasi gajah dari Ladang Bimbingan di Telupid ke Gunung Rara, baru-baru ini sebagai usaha mengawal konflik gajah di Telupid. – Foto ihsan JHL

SANDAKAN: Konflik gajah di Telupid yang wujud sejak tahun 2013 semakin berkurangan susulan pemasangan pagar elektrik serta kerjasama komuniti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat perladangan.

Selain di kawasan ladang, pemasangan pagar elektrik membabitkan dua kampung iaitu Kampung Bauto sejauh 1.7 kilometer (km) dan 2.7 km di Kampung Gambaron yang menjadi laluan gajah.

Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sandakan, Hussien Muin, berkata inisiatif menempatkan pagar elektrik di kawasan berhampiran komuniti itu adalah antara cadangan langkah panjang disyorkan pakar gajah dari Sri Lanka yang datang ke negeri ini untuk berkongsi pengalaman menangani konflik gajah pada tahun lalu.

Katanya, antara lain syor pakar itu yang kini dilaksanakan Jabatan Perhutanan Sabah adalah mewujudkan kawasan makanan tambahan gajah seluas 200 hektar di Kampung Gambaron yang ditanam dengan rumput spesies Nappier.

“Kaedah ini adalah untuk menukar cara berfikir gajah agar tidak lagi masuk ke kawasan kampung dan mengganggu tanaman penduduk apabila disediakan kawasan makanan gajah.

“Susulan langkah yang diambil, konflik gajah kini berkurangan berbanding tahun sebelum ini,” katanya kepada NSTP.

Hussien berkata, berdasarkan pemantauan, sekurang-kurangnya terdapat 30 hingga 35 ekor gajah membabitkan lima hingga tujuh kumpulan dari Hutan Simpan Deramakot, kira-kira 80 km dari Telupid yang dikesan kerap berada ke daerah itu.

Sejak tahun 2013, katanya, terdapat lapan gajah dari kawasan itu yang dipasang kolar dalam usaha JHL untuk memantau pergerakan kumpulan gajah.

“Untuk memastikan pagar elektrik sentiasa beroperasi pula, kita melaksanakan tinjauan rambang ke atas pagar yang dipasang sama ada membabitkan kawasan kampung atau syarikat perladangan.

“Pagar elektrik bukan 100 peratus boleh mengawal gajah, sebaliknya memerlukan pemantauan penuh. Banyak faktor boleh menyebabkan pagar tidak berfungsi seperti terkena ranting kayu dan sebab itu, ia mesti dijaga,” katanya.

Beliau berkata, antara lain inisiatif yang membantu mengawal konflik gajah di kawasan itu adalah menerusi penubuhan Renjer Komuniti Gajah Belia Telupid (CERT) yang diberi latihan dan kaedah asas pengawalan gajah, sekali gus memainkan peranan mengawal gajah sebelum kehadiran anggota JHL.

Selain itu, katanya, tindakan diambil untuk melakukan translokasi gajah yang agresif dan mengganggu penduduk dalam usaha mengawal konflik berkenaan. – Berita Harian

234