Parah ditikam atas pentas

WARSAW: Datuk bandar popular di sebuah bandar utama Poland parah ditikam ketika berada atas pentas untuk acara kebajikan.

Datuk Bandar Gdansk, Pawel Adamowicz, dilihat memegang perutnya sebelum rebah di depan orang ramai selepas diserang dengan senjata tajam dalam kejadian malam tadi (waktu tempatan), lapor Daily Mail.

Penyerang itu turut didengar menjerit dia membalas hukuman penjara yang salah terhadapnya, yang dilaksanakan ketika parti lama Adamowicz berkuasa.

“Sebab itu Adamowicz perlu mati,” katanya.

Sebuah stesen televisyen tempatan melaporkan, suspek menyerbu pentas sekitar jam 8 malam, manakala menurut Radio Gdansk Adamowicz ditikam berhampiran jantungnya.

Jurucakap polis Gdansk berkata, suspek yang sudah ditahan polis berusia 27 tahun dan tinggal di bandar itu.

Adamowicz ketika itu menghadiri acara dianjurkan Great Orchestra of Christmas Charity, bertujuan mengumpul wang untuk peralatan perubatan. Adamowicz sudah menjalani pembedahan, namun keadaannya dilaporkan masih serius, kata Menteri Dalam Negeri Joachim Brudzinski.

Suspek terus ditahan anggota keselamatan. Foto Daily Mail

Pegawai membantu Adamowicz yang rebah
184