Cabar baca al-Quran

Jakarta: Satu pertubuhan ulama Islam di Aceh mencabar calon presiden Indonesia menyertai ujian membaca al-Quran bagi menentukan tokoh yang bakal memimpin negara yang paling ramai penduduk Islam itu.

Jokowi (kiri) bersama Pencabarnya dalam Pilihan Raya Presiden Indonesia, Prabowo Subianto ketika satu majlis di Jakarta, hujung tahun lalu. – Foto TribunNews

Pasukan kempen Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo dan pencabarnya, Prabowo Subianto, memberikan jawapan berbeza terhadap cadangan pertubuhan itu dengan pasukan Jokowi menyatakan calon mereka bersedia bila-bila masa.

Majlis Ulama Aceh yang mencabar kedua-dua calon menyertai ujian membaca al-Quran di Masjid Besar Baiturrahman di Banda Aceh pada 15 Januari ini, menyatakan ia sudah menghantar jemputan kepada kedua-dua pihak.

Kompas melaporkan, pegawai kempen Jokowi di Aceh, Alo Raban berkata, Presiden bersedia ke Aceh untuk menyertai ujian itu.

“Saya sudah menghubungi pasukan kempen kebangsaan yang memberitahu beliau (Jokowi) dan calon naib presiden (Ma’ruf Amin) bersedia menerima jemputan untuk ujian itu,” katanya.

Timbalan pengerusi pasukan kempen Jokowi, Abdul Kadir Karding, menyatakan Presiden memberitahu tiada masalah menyertai ujian itu jika itu kehendak orang ramai.

“Ujian membaca al-Quran itu dicetuskan ulama dan penduduk Aceh untuk calon presiden. Ia idea orang ramai,” katanya.

Aceh, satu-satunya wilayah Indonesia yang melaksanakan undang-undang syariah termasuk dalam 10 wilayah yang Jokowi gagal meraih majoriti pada pilihan raya presiden 2014. Indonesia mempunyai 34 wilayah.

Sementara itu, pasukan kempen Prabowo yang disokong dua parti berasaskan Islam, Parti Keadilan Sejahtera (PKS) dan Parti Amanat Nasional (PAN) menyatakan ujian seperti itu tidak perlu. – Agensi

196